Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Arifin Arif menafikan dakwaan yang mengaitkan anak perempuannya, dengan kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13.
Arifin berkata dia tidak ada anak perempuan bernama Farisha seperti yang diperkatakan dan tiada anaknya bersekolah di sekolah yang sama dengan Zara.
“Saya ada baca di media berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa ada seorang bernama Farisha, anak kepada saya.
“Sebenarnya saya tidak ada anak yang bernama sedemikian dan tiada anak saya yang belajar di sekolah menengah berkenaan,” kata Arifin yang juga menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.
Zara dikatakan terjatuh dari bangunan asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu, dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Menurut laporan Sabah Media, Arifin berkata dia pernah melawat Zara di Hospital Queen Elizabeth I, di mana dia turut bertemu ibu mangsa bersama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan dan rombongan mereka.
“Pertamanya saya ingin menyatakan bahawa semasa beliau dirawat di hospital, saya bersama dengan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hadir menziarah dan bertemu dengan ibu beliau .
“Yang kedua, selepas empat hari Allahyarhamah meninggal dunia, saya juga bersama dengan rakan-rakan rombongan daripada Yayasan Sabah dan wakil Rakyat Sindumin hadir untuk ziarah di Sipitang untuk menyampaikan salam daripada Ketua Menteri,” katanya.
Exco pendidikan dan hal ehwal agama Sabah itu turut berharap agar ibu serta ahli keluarga Zara tabah menerima ujian itu sementara menunggu hasil siasatan polis.
“Kita tidak akan berkompromi berhubung apa yang berlaku kepada pelajar ini, dan kita minta supaya siasatan terbuka terus dilaksanakan demi keadilan untuk anak arwah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar mengesahkan bahawa laporan siasatan telah disemak dan dinilai oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dia turut mengesahkan bahawa perintah menggali semula kubur telah dikeluarkan bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan segera mengikut Seksyen 331 dan 335 Kanun Tatacara Jenayah.
“Ia bertujuan memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumar berkata kertas siasatan itu akan dikemukakan semula kepada AGC dalam masa terdekat.