Seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang berkata dia sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera kebangsaan dan tidak menyedari bendera itu dipasang secara terbalik.
Akhbar berbahasa Cina Kwong Wah melaporkan pemilik kedai, Feng Jin Zhen berkata insiden itu berlaku antara jam 9 hingga 10 pagi hari ini ketika dia sedang bersiap untuk menggantung Jalur Gemilang sambil mengukur panjang tiang besi.
Menurut laporan itu, Feng menyedari bendera tersebut secara tidak sengaja dipasang terbalik semasa proses itu dan segera membetulkannya.
Feng dipetik Kwong Wah berkata dia tidak tahu keseluruhan proses tersebut telah dirakam dan dimuat naik ke Facebook. Dia kesal kerana video berkenaan hanya merakam bahagian bendera terbalik tanpa menunjukkan detik ia diperbetulkan.
Feng menyatakan rasa kesal, memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dan berkata dia telah membuat laporan polis bagi mengambil tanggungjawab serta menjelaskan salah faham tersebut.
Katanya, dia telah pergi ke balai polis Kepala Batas pada jam 1.30 tengah hari untuk membuat laporan, bagi memperjelaskan fakta dan memberikan penjelasan.
Video tular
Insiden terbaru bendera terbalik itu tular di media sosial selepas akaun Facebook bernama Nazirul Hafiz memuat naik video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian tersebut.
Video itu mendapat kira-kira 2,400 tanda suka, 3,600 komen, dan 5,400 perkongsian.
Ini kesilapan keenam membabitkan bendera kebangsaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Kejadian sebelum ini berlaku di sebuah sekolah Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan, apabila Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.
Selepas insiden itu, Adun Lukut, Choo Ken Hwa mendedahkan kesilapan tersebut berpunca daripada seorang pekerja berkeperluan khas.

Namun, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa tidak berkompromi walaupun dengan penjelasan tersebut.
Akmal kemudian memuat naik hantaran Facebook kontroversi menyindir pemimpin Pemuda DAP itu patut diberikan “kad OKU” selepas mereka menuduhnya tidak konsisten dan hipokrit.
Selepas menerima kecaman, Akmal mempertahankan kenyataannya dengan mendakwa sindiran itu ditujukan kepada sayap berkenaan dan bukannya komuniti OKU secara keseluruhan.
Dalam hantaran Facebook pagi tadi, Akmal secara sinis bertanya sama ada insiden terbaharu ini juga melibatkan seorang individu berkeperluan khas, seperti kes sekolah di Negeri Sembilan.
“Saya nak tanya, orang ni OKU juga ke, sampai minta orang ambil gambar dia angkat bendera secara terbalik?” katanya.
Akmal berkata dia telah mengarahkan Pemuda Umno Pulau Pinang, iaitu lokasi didakwa video itu dirakam, serta Pemuda Umno di seluruh negara untuk membuat laporan polis berhubung insiden terbaharu ini bermula malam ini.
“Kita desak kerajaan kenakan tindakan kepada petualang yang tak tahu nak menghormati bendera Malaysia dan juga menghormati negara ini,” tegasnya.
Dia turut mengecam pihak yang mempertahankan individu terlibat dan menyifatkan mereka sebagai ‘bengap’.
“Bolehlah tuduh lepas ni Akmal menghina orang bengap, samalah macam kau yang bengap,” katanya.