Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap insiden mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Menerusi hantaran di X hari ini, beliau berkata Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang menjadi milik seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Mengibarkannya dengan betul adalah tanggungjawab setiap warganegara sebagai tanda hormat dan cinta kepada tanah air.
“Saya ingin mengingatkan bahawa tindakan mempamer atau mengibarkan bendera negara secara tidak wajar adalah satu kesalahan di bawah Akta Lambang dan Nama 1963 [Akta 414],” katanya.
– Bernama