Malaysia Oversight

Suhakam bimbang penahanan pelajar Mesir di M’sia

By MkiniBM in August 9, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan kebimbangan terhadap penahanan pelajar universiti warga Mesir, Mohammed Marwan, susulan protes aman yang dilakukannya di luar Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur minggu lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Suhakam berkata walaupun tidak menyokong sebarang perbuatan vandalisme atau merosakkan harta sebagai bentuk protes, sebarang penyataan pendapat — khususnya yang dilakukan secara aman dan beretika — perlu ditangani secara berpatutan serta selaras dengan prinsip hak asasi manusia.

“Mesej Marwan, sebagai tanda solidariti dengan orang awam di Gaza, mencerminkan keprihatinan kemanusiaan yang dikongsi secara meluas oleh rakyat Malaysia.

“Hak kebebasan bersuara dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR),” kata badan itu.

Minggu lalu, FMT melaporkan pelajar tersebut ditahan kerana didakwa melakukan vandalisme pada dinding Kedutaan Mesir dengan menulis slogan pro-Palestin, menyeru pembukaan lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza.

Kedutaan itu kemudian membuat laporan polis, menuduh Marwan melakukan “pengkhianatan besar” dan menyifatkan tindakannya sebagai “ancaman kepada keselamatan negara.”

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Usuf Jan Mohamad dipetik FMT berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Penahanan tersebut mengundang kecaman daripada kumpulan NGO antarabangsa yang menggesa Malaysia membebaskan dan tidak mengekstradisi pelajar itu, sambil menegaskan rekod hak asasi manusia Mesir yang buruk serta pelanggaran berulang terhadap penunjuk perasaan aman menimbulkan ancaman kepada keselamatannya.

Suhakam mengesahkan Marwan telah dibebaskan daripada tahanan dan tidak akan dihantar pulang. Namun, badan itu tetap menyifatkan penahanan tersebut sebagai pelanggaran membimbangkan terhadap hak sejagat untuk kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Suhakam turut mengingatkan pihak berkuasa Malaysia tentang tanggungjawab mereka di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk prinsip non-refoulement yang melarang pemulangan individu ke negara dengan risiko menghadapi penyeksaan, penganiayaan atau layanan tidak berperikemanusiaan.

Suruhanjaya itu juga menggesa pihak berkuasa kekal berwaspada dalam menegakkan kebebasan asas yang dijamin di bawah undang-undang negara dan antarabangsa, serta memastikan proses undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan Malaysia tidak dipengaruhi tekanan luar yang boleh menjejaskan hak tersebut.

“Malaysia sejak sekian lama berpendirian teguh menyokong keadilan kemanusiaan, khususnya berkaitan nasib rakyat Palestin. Pendekatan ini turut dizahirkan oleh pelbagai lapisan masyarakat Malaysia, termasuk di peringkat tertinggi .

“Dalam konteks ini, penahanan seorang pelajar kerana menyatakan solidariti terhadap perjuangan yang sama boleh memberikan mesej bercanggah dan berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap konsistensi komitmen hak asasi manusia Malaysia.

“Atas prinsipnya, tiada individu, tanpa mengira kewarganegaraan, wajar dihukum kerana secara aman melaksanakan suara hati mereka demi keadilan, maruah manusia, dan perlindungan orang awam daripada keganasan. Menegakkan nilai-nilai ini penting untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang komited kepada hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang,” katanya.



Source link