Selepas hampir dua tahun menunggu keadilan, seorang wanita warganegara Republik Kyrgyzstan tampil mempersoalkan siasatan kes pukul yang dilaporkannya sejak Disember 2023.
Shaparova Mia, 34, mendakwa dicederakan secara fizikal oleh bekas teman lelakinya, yang juga didakwa adalah kerabat Istana Pahang.
Dia juga mendakwa mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun hasil hubungan dengan lelaki berkenaan.
“Pada Disember 2023, saya tidak sengaja terserempak dengannya di tempat awam. Saya bersendirian, manakala dia ditemani orang lain. Saya menghampiri dan dengan tenang bertanya jika dia mahu berjumpa dengan anaknya.
“Saya tidak menjerit. Saya tidak menghina sesiapa. Saya hanya bertanya satu soalan.
“Akibatnya, saya dipanggil dengan kata-kata hinaan dan dituduh melakukan perkara yang saya tidak lakukan. Saya dicederakan secara fizikal, telefon saya rosak, dan saya mengalami kecederaan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, ditemani peguamnya, Goh Cia Yee.
Menurut Shaparova, kejadian itu mendorongnya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital.
“Kejadian tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV), dan saya telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dengan memberikan bukti.
“Namun, hampir dua tahun telah berlalu. Dua tahun menunggu dalam kesunyian. Tiga tahun membesarkan anak seorang diri dari segi emosi, kewangan, dan fizikal. Sementara orang lain meneruskan hidup, saya masih menunggu perlindungan dan keadilan.

“Mengapa kes saya belum bergerak dengan perkembangan lanjut? Mengapa keadilan begitu lambat? Adakah ini sistem yang boleh dipercayai oleh wanita di Malaysia?” soalnya, yang mendakwa memulakan hubungan dengan lelaki itu pada 2021.
Malaysiakini telah menghubungi Istana Pahang untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan itu.
Bagaimanapun, sumber dari Istana Pahang menafikan dakwaan bahawa lelaki tersebut adalah kerabat diraja.
“Kalau nak kata kerabat, tidak. Sebab dia tiada gelaran ‘Yang Mulia Tengku’,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Ikrar akan terus bersuara
Ketika bercakap kepada media, Shaparova berkata, pada awal kehamilan, dia dan lelaki itu pernah ditahan polis atas satu kes lain.
Kata Shaparova, dia kemudian dipenjara dalam keadaan hamil.
“Saya mengambil tanggungjawab undang-undang (dipenjara), manakala dia kekal di luar untuk membantu, tetapi saya dipenjarakan dalam keadaan mengandung.
“Apabila saya dibebaskan, walaupun bersendirian dan sedang hamil empat bulan, saya memilih untuk menamatkan hubungan tersebut.
“Saya tidak meminta lebih daripada sekadar tanggungjawab asas terhadap anak kami, sokongan kewangan jika mampu, dan lawatan sekali-sekala, tetapi dia tidak mengambil tanggungjawab,” ujarnya.
Tambah Shaparova, dia tampil bersuara untuk mewakili setiap wanita yang berasa tidak berdaya, tidak mendapat sokongan, atau dibisukan kerana pihak yang terlibat mempunyai pengaruh kuat.
“Adakah ini Malaysia yang kita harus terima, di mana keadilan boleh ditangguhkan tanpa had masa? Saya tidak lagi takut. Saya tidak akan berdiam diri. Saya akan terus bersuara sehingga anak saya dan saya didengari.
“Keadilan yang dilengah-lengahkan adalah keadilan yang dinafikan. Saya berhak mendapat yang lebih baik.
“Anak saya berhak mendapat yang lebih baik. Semua wanita di Malaysia berhak mendapat yang lebih baik,” katanya, yang telah menetap di Malaysia sejak tujuh tahun lalu sebagai seorang pelajar.
Sementara itu, Cia Yee memaklumkan kes anak guamnya telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, namun tiada perkembangan dimaklumkan sehingga kini.
Malaysiakini telah menghubungi Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan wanita berkenaan.