Malaysia Oversight

Pekerja manusia lawan pekerja AI, siapa menang?

By Utusan in June 28, 2026 – Reading time 5 minute
Pekerja manusia lawan pekerja AI, siapa menang?


DI SEBUAH kawasan perumahan di Stockholm, ada sebuah kedai kopi kecil berkonsep minimalis tetapi siapa sangka, pengurusnya yang bernama Mona, rupa-rupanya dikendalikan sepenuhnya oleh Kecerdasan Buatan (AI). Macam itu saja si Mona dapat kerja.

Tanpa sijil atau diploma, Mona yang dijana oleh sistem Gemini milik Google, pandai pula menemu duga dan mengambil pekerja barista yang sudah tentunya manusia untuk menerima pesanan dan membuat kopi di situ.

Barista itu pula mengakui bukan mudah untuk bekerja dengan pengurus AI. Mona gemar betul membuat pembelian tidak perlu. Contohnya, 10 liter minyak masak dan 15 kilogram tomato dalam tin! Yang tiada kena mengena dengan kafe itu.

Mona juga langsung tidak menghormati masa rehat barista itu dengan sering menghantar mesej hal kerja pada waktu malam dan sering meminta dia menanggung kos pembelian dengan duitnya sendiri!

Sebenarnya, syarikat pemula Andon Labs yang berpangkalan di San Francisco itu sedang bereksperimen untuk kafe berkenaan. Mereka percaya AI akan menjadi sebahagian besar dalam masyarakat dan pasaran pekerjaan pada masa hadapan.

Di Malaysia yang kadar pengangguran dan bilangan pekerja yang diberhentikan masih tinggi, kalau ada 10 saja kafe pengurusnya macam Mona ketika ini, tentu Mona bagaikan menjadi ‘peragut’ peluang manusia untuk mendapatkan kerja.

Kita boleh cakap, tidak semua kerja boleh diganti dengan AI, tetapi realitinya sekarang teknologi nampaknya bersungguh-sungguh benar mahu menggantikan manusia. Syarikat-syarikat besar, memandang AI ibarat alat untuk menendang keluar tenaga manusia.

Kalau begitulah, seluruh dunia perlu ada pelan survival untuk rakyat marhaen yang semakin tersepit.

Di Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan mendedahkan, seramai 42,807 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan di seluruh negara dalam tempoh antara Januari hingga 12 Jun tahun ini sahaja.

Lembah Klang menjadi kawasan paling parah, dengan Kuala Lumpur menyumbang 30 peratus kes, disusuli rapat oleh . Pun begitu, Ramanan menegaskan teknologi pintar AI ini bukan pembunuh utama peluang kerja negara.

Data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan punca terbesar pemberhentian (40.85 peratus atau 17,485 orang) sebenarnya disebabkan penutupan perniagaan, skim pemisahan sukarela (VSS), dan pengecilan operasi akibat kos sara hidup syarikat yang melonjak.

Ramanan melihat AI sekadar ‘pelengkap’ pasaran kerja sedia ada, bukannya satu ancaman besar. Beliau turut memetik portal MYFutureJobs yang menawarkan lebih 605,000 kekosongan jawatan sebagai bukti peluang masih ada.

Tetapi itulah pemberhentian ramai pekerja ini menimbulkan juga tanda tanya. Ada yang kata ekonomi negara semakin baik tetapi kenapa masih ramai dibuang kerja dan susah mendapat kerja terutamanya siswazah yang berbulan dan makan tahun keluar dari universiti, masih tidak mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakan akademik mereka?

Kata sahabat saya seorang pensyarah, sedih betul melihat bekas pelajar-pelajarnya yang cemerlang, kini ada yang dilihat di media sosial menjual air kelapa, membuat live dalam platform jual barang dari malam hingga ke subuh dan ramai juga yang bekerja sebagai barista.

Mengikut data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara berada pada paras 3.0 peratus dengan kira-kira 511,800 orang penganggur.

Apa yang lebih merisaukan, pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada paras 10.2 peratus. Ini bermakna hampir 290,000 anak muda kita atau graduan yang sepatutnya membina masa depan cerah kerana ada kelayakan akademik tinggi masih terkontang-kanting mencari kerja.

Adakah nanti universiti hanya tempat untuk menuntut ilmu bukan untuk melahirkan tenaga kerja mahir di negara ini?

Dalam pada itu, ramai juga sangsi di atas borang PERKESO, majikan memang akan tulis alasan ‘pengecilan operasi demi kos’. Masalahnya, di sebalik tabir, proses automasi senyap sedang rancak berjalan.

Syarikat tentu tidak akan mengaku buang pekerja ganti AI. Tugas rutin seperti perkeranian, khidmat pelanggan, penyuntingan asas, dan analisis data diganti satu demi satu secara halus.
Kajian Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) pada 2024 menganggarkan sekitar 697,000 pekerjaan di Malaysia berisiko tinggi terkesan oleh teknologi pintar dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dan perkara ini hangat dibincangkan pada tahun ini.

Kesan penstrukturan senyap ini akan paling parah melanda pekerja di sektor pembuatan, terutamanya di zon industri utama seperti Pulau Pinang, Johor, dan .

Di kilang-kilang elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi nadi eksport negara, lengan robotik berkuasa AI mula mengambil alih tugas menyisih, membungkus, dan mengawal kualiti.
Bagi pihak pengurusan, pelaburan robot AI ini jauh lebih untung. Robot tidak perlu cuti sakit atau cuti kecemasan untuk hal keluarga, tiada tuntutan KWSP, dan boleh kerja 24 jam tanpa merungut dalam group WhatsApp.

Namun bagi ribuan operator golongan B40, ini adalah satu mimpi ngeri. Kebanyakan mereka sudah berkhidmat berbelas tahun, komitmen hutang keluarga tinggi, tetapi tidak mempunyai ijazah untuk bertukar bidang dengan mudah.

Apabila kilang beralih arah demi ‘kecekapan kos’, mereka dilepaskan berkelompok begitu sahaja. Ke mana mereka mahu pergi?

Dalam bidang kewartawanan pun, kita perlukan manusia untuk turun padang melaporkan isu rakyat, mencari berita eksklusif, menemu bual tokoh tertentu, mencari berita yang lain daripada media lain dan membuat analisis sesuatu isu. Bukan boleh main ganti dengan AI macam si Mona sahaja.

Kita tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan meminta rakyat menerima ‘takdir teknologi’ ini bulat-bulat.

perlu bertindak awal melalui solusi yang tuntas, bukan sekadar menayangkan statistik kekosongan jawatan yang kadangkala tidak sepadan dengan realiti kemahiran rakyat.

Penggubalan polisi etika AI di tempat kerja amat mendesak. Perlu ada had undang-undang yang ketat supaya AI digunakan sebagai pembantu manusia (copilot), bukannya alat mudah untuk membuang pekerja demi memaksimumkan untung. Pemberhentian kerja juga tidak sepatutnya menggunakan alasan AI. Hak manusia untuk mendapatkan pekerjaan perlu dilindungi.

Dalam pada itu, jaringan keselamatan sosial seperti Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah PERKESO mesti dimantapkan dengan dana sokongan yang lebih besar kerana tempoh mencari kerja baru sekarang sudah menjadi semakin panjang akibat persaingan sengit. Pampasan yang sedikit tidak dapat menampung kehidupan mereka sementara mendapat kerja.

Kisah pengurus AI, Mona di Stockholm itu bukan cerita dongeng dari benua Eropah yang jauh. Ia adalah nyata dan amaran awal. Mungkin cerminan masa depan walaupun pada masa sama, Mona juga menunjukkan beberapa kelemahan betapa teknologi tanpa akal dan tiada empati boleh menyusahkan industri dan pekerja lain.

Jika kita berlengah dan memandang remeh untuk bersiap sedia dari sekarang dan menganggap ini bukan ancaman besar, kita bukan sahaja akan melihat kafe tanpa manusia, tetapi landskap ekonomi yang lumpuh kerana rakyat hilang daya beli akibat tiada pekerjaan.

Dan mungkinkah satu masa nanti, hari pekerja bukan disambut oleh manusia?

Teknologi dibina untuk berbakti kepada manusia, bukan mengambil alih kerja manusia apatah lagi kebijaksanaan manusia dibiarkan kalah teruk oleh AI macam itu saja. Bukankah ini satu penghinaan?

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.



Source link