Malaysia Oversight

Impian besar beregu Malaysia di Kejohanan Dunia

By Utusan in August 9, 2025 – Reading time 2 minute
Impian besar beregu Malaysia di Kejohanan Dunia


KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia meletakkan harapan tinggi untuk melihat keempat-empat pasangan Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris hujung bulan ini.

Juara dunia edisi 2022 itu percaya jika semua beregu negara berjaya melepasi halangan suku akhir, maka kejuaraan tetap akan menjadi milik Malaysia, walaupun bukan dirinya bersama Soh Wooi Yik yang menjulang trofi kali ini.

“Saya rasa separuh akhir semua beregu Malaysia, itu dah wajib sebab kita ada empat pasangan dan masing-masing ada kemampuan untuk pergi jauh dalam kejohanan ini.

“Kalau empat semifinalist dari Malaysia, saya rasa itu sudah cukup membanggakan dan kami semua boleh mula fikir untuk meraikan awal kerana siapa pun yang menang, tetap akan bawa balik pingat,” kata Aaron ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Setakat ini, Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar beregu lelaki ke Kejohanan Dunia kali ini iaitu Aaron-Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Menurut Aaron, semua gandingan ini memiliki potensi untuk mencipta kejutan, malah beliau menyifatkan tekanan sebenar kini berada di bahu beregu-beregu dari negara lain.

“Ada (kejutan). Saya rasa Wei Chong-Kai Wun dan Arif-Roy King ada peluang, sebab kita ada empat pasangan. Jadi saya rasa tekanan akan datang lebih besar dari negara lain,” katanya.

Bercakap mengenai cabaran di Paris, Aaron menyifatkan saingan beregu lelaki kini semakin sukar dijangka, khususnya dengan kemunculan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Won Ho yang pantas melonjak ke ranking No. 1 dunia.

“Saya rasa dalam beregu lelaki memang susah hendak dijangka. Semua lawan bukan mudah. Kita tahu Seung Jae-Won Ho baru bergandingan beberapa bulan, tetapi sudah jadi No. 1 dunia. Itu lawan paling sukar buat kami setakat ini.

“Kita juga ada rakan senegara seperti Wei Chong-Kai Wun dan Arif-Roy King. Jadi bila perlu bertemu sesama sendiri, saya rasa itu juga bukan mudah,” ujarnya.-UTUSAN





Source link