PETALING JAYA: Cabang amal Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad, Yayasan MR D.I.Y., menerima pengiktirafan tertinggi apabila dinobatkan sebagaI Yayasan Terbaik Tahunan [Peruncit Perkakas Rumah] dalam Anugerah Kepimpinan Kebajikan Komuniti di Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025 baru-baru ini.
Ia merupakan tahun kedua berturut-turut Yayasan MR D.I.Y. menerima gelaran Yayasan Terbaik Tahunan yang berprestij itu dan telah menerima pengiktirafan untuk Semangat Komuniti Cemerlang pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin berkata, anugerah itu adalah bukti dedikasi dan keprihatinan setiap anggota Yayasan MR D.I.Y. dan Kumpulan MR D.I.Y.
“la mencerminkan komitmen bersama kami untuk berkhidmat kepada komuniti dengan integriti, belas ihsan dan matlamat yang jelas. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak penganjur dan panel juri CSR Malaysia Awards, serta kepada Kumpulan MR D.I.Y. atas kepercayaan dan sokongan yang tidak herbelah bahagi.
“Kami amat berbesar hati atas penghormatan ini dan akan terus menggiatkan usaha kami dalam membawa perubahan positif yang berkekalan demi masa depan yang lebih baik dan negara Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah tahunan yang dianjurkan oleh CSR Malaysia di bawah Pertubuhan Amal Tanggungjawah Kemapanan dan Korporat Malaysia itu bertujuan mengiktiraf organisasi di Malaysia yang menunjukkan kepimpinan dalam memacu kemajuan sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Para pemenang dinilai oleh panel hakim profesional dari sektor korporat dan sosial berdasarkan matlamat CSR yang jelas, impak yang boleh diukur, konsistensi, ketelusan, kreativiti, kebolehan pasukan dan keikhlasan pelaksanaan.
Ditubuhkan pada Jun 2023, Yayasan MR D.I.Y. menerajui inisiatif impak komuniti bagi Kumpulan MR D.I.Y.
Pada 2024, yayasan itu telah melaksanakan pelbagai program yang memberi impak positif kepada lebih 95,000 individu di seluruh negara Yayasan MR D.I.Y. komited untuk terus memperluas jangkauannya serta memacu pembangunan lestari yang memberi manfaat kepada komuniti di seluruh negara. – UTUSAN