Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan diterima sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), menurut Bernama.
Tengku Zafrul berkata permohonannya menyertai PKR diterima dua minggu lepas dan kini dia anggota parti bagi cabang Ampang.
“Saya tidak ingat tarikh (penerimaan permohonan) tapi ia adalah ketika perjumpaan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti, dua minggu lepas,” katanya kepada media Malaysia di Jepun hari ini ketika mengadakan lawatan ke Pavilion Malaysia bersempena Expo 2025 Osaka.
Bagaimanapun, laporan media tidak mendedahkan sama ada dia akan memegang sebarang jawatan dalam PKR atau tidak.
Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh untuk mendapatkan komen lanjut.
Zafrul merupakan seorang senator yang pertama kali dilantik pada Mac 2020 dan sekali lagi pada Disember 2022. Tempohnya akan tamat pada Disember tahun ini, dan dia tidak lagi layak untuk dilantik semula, yang bermakna dia perlu melepaskan jawatannya dalam kabinet.
Terdahulu, pada 30 Mei, dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan daripada Umno dan mengumumkan hasrat untuk menyertai PKR.
Pengumuman tersebut telah mencetuskan spekulasi mengenai rombakan kabinet yang mungkin berlaku kerana bermakna Umno akan kehilangan seorang wakil dalam kabinet.
Langkah Zafrul itu turut mengundang kritikan daripada pimpinan Umno, yang mengecam tindakannya serta memberi amaran kepada PKR bahawa langkah “memancing” ahli sebegini boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.