Malaysia Oversight

Kemasukan 21 warga asing ditolak, seorang ditahan

By MkiniBM in August 8, 2025 – Reading time 2 minute
Kemasukan 21 warga asing ditolak, seorang ditahan


Sebanyak 21 warga asing ditolak kemasukan ke Malaysia manakala seorang lagi ditahan selepas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menggagalkan cubaan kemasukan dan keluar negara secara tidak sah menggunakan tiga modus operandi berbeza di Terminal 2.

Dalam kenyataan malam ini, AKPS memaklumkan semua cubaan itu berjaya digagalkan Pasukan Pemantau AKPS KLIA T2 dalam pemantauan rutin semalam.

AKPS memberitahu kes pertama melibatkan enam warga Kemboja – termasuk seorang individu dipercayai pembawa – yang mendakwa datang ke negara ini untuk mendapatkan suaka politik.

Dia bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen sokongan seperti ditetapkan.

“Sementara itu, tiga warga Indonesia yang menyalahgunakan kemudahan visa kemasukan tunggal selama 90 hari pula tidak mempunyai bukti tempahan penginapan, tiket pulang atau alasan kukuh tujuan kemasukan dan disyaki mahu bekerja secara tidak sah.

“Dalam kes ketiga, seorang warga ditahan selepas dikesan menggunakan pasport dengan endorsmen mencurigakan bagi tempoh Dis 2024 hingga Ogos 2025.

“Siasatan awal mendapati individu terbabit memperoleh cap keluar-masuk secara tidak sah menggunakan kaedah flying dan menyalahgunakan dokumen perjalanan,” katanya.

Menurut AKPS, warga itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan pemalsuan dokumen dan cubaan keluar tanpa prosedur sah.

Selain itu, AKPS memaklumkan kemasukan tujuh warga India dan lima warga Pakistan turut digagalkan apabila cuba melepasi kaunter pemeriksaan imigresen tanpa pemeriksaan sah serta dipercayai menyusup bersama penumpang lain.

Semua mereka dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan dihantar pulang ke negara asal melalui penerbangan terawal.

Agensi itu menegaskan mereka komited memastikan integriti kawalan sempadan negara sentiasa terpelihara dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan masuk atau keluar secara tidak sah.

Bernama



Source link