Malaysia Oversight

AGC arah mayat Zara Qairina digali semula

By MkiniBM in August 8, 2025 – Reading time 1 minute
AGC arah mayat Zara Qairina digali semula


Mayat Zara Qairina Mahathir perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar tingkatan satu berkenaan, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam kenyataan hari ini AGC memaklumkan pihaknya meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jabatan ini berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah,” katanya.

Menurut AGC, langkah berkenaan bertujuan untuk memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.

Isnin lalu AGC memaklumkan pihaknya menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu di cawangan Sabah pada 3 Ogos dan di Ibu Pejabat AGC di sehari kemudian.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai.

Bernama



Source link