Polis mengingatkan orang ramai yang akan menyertai perhimpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza esok supaya mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk tidak membawa objek tajam sama ada kayu, besi, pisau atau parang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata pihaknya telah menerima pemakluman awal daripada penganjur himpunan itu, Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) dan Persatuan Ulama Malaysia.
“Polis menasihati pihak penganjur dan peserta untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang sedia ada semasa berhimpun selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan tersebut hendaklah digunakan secara baik dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sulizmie turut menasihati peserta supaya tidak membakar mercun ataupun suar.
Turut dilarang ialah sebarang sepanduk berunsur 3R, mengeluarkan ucapan berbaur fitnah, membawa kanak-kanak ataupun menerbangkan dron.
Katanya, himpunan yang turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain itu temasuk mahasiswa dijangka akan dihadiri sekitar 5,000 peserta.
Katanya, peserta himpunan itu dijangka akan berkumpul di tiga lokasi utama iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Kompleks Sogo sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
“Polis Diraja Malaysia menjangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya menghala ke pusat bandar berikutan pertambahan jumlah peserta perhimpunan yang memasuki kawasan terlibat.
“Namun pemantauan kawalan lalu lintas tetap dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai,” katanya lagi.