ULASAN | Kenyataan Presiden MIC, SA Vigneswaran, bahawa parti itu sedia untuk membincang dengan mana-mana parti untuk menjamin masa depan masyarakat India pada masa depan disambut oleh sebahagian besar komuniti India.
Walaupun MIC bersama BN menubuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, parti itu tidak diberi peranan dalam kerajaan. MIC ketinggalan dalam pentadbiran menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli.
Walaupun ia terarah kepada BN, namun tempiasnya tetap terkena pada kerajaan.
Vigneswaran mengumumkan bahawa MIC akan membuat keputusan terhadap hala tuju parti demi menjamin masa depannya dan kepentingan kaum India.
Kenyataan itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk andaian MIC mahu keluar daripada BN dan menyertai PN.
Sehubungan itu Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan pendapatnya bahawa masa depan MIC lebih terjamin bersama komponen semasa.
Menurut Ahmad Zahid, MIC adalah sebuah parti yang mempunyai struktur yang baik untuk membela kepentingan kaum India.
Tambahan pula MIC adalah sebuah parti yang sangat berpengaruh dan dia menjangkakan mereka kembali kuat sekiranya sokongan masyarakat India dapat dikembalikan.

Memang benar. Meskipun prestasi MIC merosot semasa PRU ke-14 dan ke-15 akibat tempias peralihan sokongan pengundi Melayu – daripada BN kepada parti lain – MIC di bawah pimpinan Vigneswaran dilihat sudah memulihkan kekuatannya.
Justeru sekarang adalah masa yang tepat bagi kepimpinan MIC menggunakan kekuatan tawar-menawar yang ada untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti lain.
Ia adalah perlu bagi menjamin kemenangan calon-calon MIC pada PRU akan datang.
Dalam konteks ini MIC mempunyai pelbagai pilihan untuk membuat keputusan.
Harap pengundi Cina
Antaranya, kekal bersama BN. Tetapi BN yang diterajui Umno didapati semakin hilang sokongan daripada pengundi Melayu. Ramai tokoh Umno keluar parti dan menyertai Bersatu.
Dalam keadaan sebegitu, kekal bersama BN menimbulkan persoalan dalam konteks pengundi Melayu yang mahu memihak calon MIC semasa pilihan raya.
Pilihan kedua ialah menyertai PN ataupun PH. Kedua-dua gabungan politik itu mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Keputusan PRU ke-15 menunjukkan PN memiliki sokongan sebahagian besar pengundi Melayu melalui naungan PAS dan Bersatu.
Sokongan itu dilihat ada di seluruh negara dan tanpa mengira kawasan pilihan raya.

Pun begitu PH mempunyai kekuatan sokongan pengundi Cina yang dibawa DAP serta segelintir pengundi Melayu khususnya di kawasan bandar.
Dalam konteks ini MIC perlu bijak mengatur langkah dengan mengambil kira kelebihan PN dan PH sebelum membuat keputusan muktamad menjelang PRU akan datang.
Sekiranya MIC kekal bersama BN, apakah peluang parti itu untuk mengumpul sokongan pengundi Melayu dalam senario semasa politik yang menyaksikan beberapa tokoh Umno menyeberang ke parti lain.
Sekiranya menyertai PN pula, MIC hanya boleh mengharapkan sokongan undi Melayu saja.
Sebaliknya jika PH menjadi pilihan MIC bolehlah mengharapkan sebahagian besar pengundi Cina dan sebahagian pengundi Melayu mengundi mereka.
Pemimpin sekarang bijak
Persoalannya, apakah jaminan PN akan mengalihkan sokongan pengundi Melayu secara tuntas kepada calon-calon MIC dalam senario politik polarisasi kaum yang ada dalam politik semasa?
Sama juga dengan PH – apakah mereka mampu mengalihkan sokongan pengundi Cina kepada calon-calon MIC?
Persoalan ini penting diperkirakan sebagai percaturan strategik politik yang memerlukan pertimbangan serius daripada kepimpinan MIC.
Difahamkan keputusan muktamad mengenai hala tuju MIC akan ditentukan oleh para perwakilan dalam Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-79 nanti.
Ahli-ahli MIC pernah menonjolkan kebijaksanaan masing-masing untuk memutuskan hala tuju parti apabila mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak parti tersebut ditubuhkan pada 1946.
Contohnya, pada 1954 MIC bersama IMP dan kemudian dengan Parti Negara.
Namun MIC meninggalkan kedua-dua gabungan tersebut lalu menyertai Perikatan yang menyatukan mereka dengan Umno dan MCA.
Pada 1973 pula MIC membuat keputusan untuk kekal bersama komponen itu membentuk BN atas alasan mahu menjamin kepentingan kaum India.
Pemimpin serta para perwakilan MIC memiliki pengalaman, kebijaksanaan dan keberanian membuat keputusan strategik.
Lebih-lebih lagi kepimpinan MIC sekarang lebih berwawasan, berstrategik dan bijak sehingga mampu membuat keputusan terbaik – sama ada kekal dalam BN atau menyertai gabungan lain.
M PERIASAMY ialah seorang penganalisis sosiopolitik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.