Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi menyatakan sokongan kepada keluarga Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, dalam mendesak pihak berkuasa menjalankan bedah siasat serta inkues berhubung kematiannya.
Pengerusi persatuan itu, Ng Yap Hwa, berkata inkues bebas adalah perlu memandangkan siasatan terhadap kes Zara dilihat tidak lengkap dan menimbulkan keraguan serius terhadap tahap profesionalisme polis.
“Siasatan yang tidak lengkap ini hanya mengundang dakwaan wujud usaha menutup kes demi melindungi pegawai tinggi kerajaan negeri.
“Sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan kebertanggungjawaban dalam kalangan pegawai penguat kuasa, kami menyokong sepenuhnya tuntutan keluarga Zara agar bedah siasat penuh dan inkues diadakan bagi menyiasat punca kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia menambah, inkues kini menjadi kaedah yang semakin penting kerana ia dilihat lebih bebas dalam menentukan punca kematian Zara.

Pada 4 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan sedang meneliti laporan siasatan awal yang menyeluruh daripada pihak polis, termasuk menilai elemen perundangan dalam siasatan tersebut.
Dua hari kemudian, Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengesahkan beberapa arahan telah diberikan kepada pihak berkuasa bagi membantu melengkapkan siasatan kematian pelajar itu.
Mengulas perkara itu, Ng berkata arahan AGC kepada polis menguatkan kebimbangan keluarga Zara bahawa siasatan terhadap kematian remaja itu mempunyai kelemahan serius.
“Menurut keluarga, tiada bedah siasat dan siasatan polis kelihatan tidak profesional serta sambil lewa.
“Contohnya, pakaian Zara hanya diambil oleh polis untuk siasatan lanjut pada 5 Ogos — lebih dua minggu selepas kejadian.
“Lebih mengejutkan, polis didakwa gagal merekodkan kesan lebam di bahagian belakang mangsa sehingga perkara itu dimaklumkan oleh ibunya semasa memberikan kenyataan kepada polis,” katanya lagi.
Ng turut merakamkan ucapan takziah dan solidariti kepada keluarga Zara, khususnya atas keteguhan mereka mencari kebenaran di sebalik kematian anak mereka.
Zara, pelajar Tingkatan Satu di SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar, ditemui dengan kecederaan parah di asrama sekolah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Laporan awal menyatakan dia dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan tersebut. Zara meninggal dunia keesokan harinya di hospital.