Pemuda Bersatu (Armada) mengecam tindakan polis menyiasat ketuanya Hilman Idham berhubung protes menolak Akta Hasutan 1948 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 29 Julai.
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, Adun Gombak Setia itu telah menerima panggilan daripada Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas PDRM, Bukit Aman.
Susulan itu Hilman telah dipanggil untuk hadir ke Bukit Aman bagi tujuan siasatan pada 11 Ogos.
“Armada menyelar siasatan ini yang boleh disifatkan sebagai tekanan dan intimidasi politik pasca Himpunan Turun Anwar.
“Bersatu dan seluruh kepimpinan Armada akan terus berdiri teguh bersama YB Hilman dan berharap agar proses siasatan akan berjalan dengan lancar mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harris Idaham berkata mereka dimaklumkan bahawa kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Malaysiakini difahamkan dalam protes itu Hilman mendakwa penahanan dua pemimpin akar umbi parti itu sebelum ini diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.