Seorang pemimpin DAP Johor menggesa perang mulut tidak berkesudahan antara pemimpin parti itu dan sekutunya Umno dihentikan.
Timbalan Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Bagharib Ali berkata, pertelingkahan berkaitan kontroversi pemasangan bendera Malaysia terbalik di Negeri Sembilan itu sudah menjadi “populariti murahan dengan maki-memaki”.
“Sepatutnya kita bincang dasar. Bincang polisi. Rakyat perhati.
“Macam tonton filem Labu Labi. Watak Labu (M Zain) beritahu kat Labi (P Ramlee): ‘Ini kepala bapak kau.’ Labi balas pada Labu, ‘Ini pula kepala bapak kau.’
“Lepas itu sama-sama pijak dan bertelingkah. Dapat apa?” soalnya.
Perang mulut antara Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dan pemimpin DAP bermula dari isu pemasangan bendera terbalik yang dikaitkan dengan pekerja OKU.

Pertelingkahan membawa kepada gelar-menggelar, antaranya “OKU”, “anjing liar” dan “babi hutan”.
Menulis di media sosial, Sheikh Omar berkata perang mulut itu sudah melarat sehingga tiada lagi isi dalam perbahasan.
“Jika ada pun, bukan lagi dibincang secara matang. Tetapi emosi, sensasi dan entah apa-apa lagi,” katanya.
Dia sekali lagi mengingatkan supaya perkara itu diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.
“Tapi sayang, inilah politik kita. Akmal perlu maki DAP. DAP pun balas. Pihak sana main lagi, pihak sini sambung tibai.
“Mula-mula nampak isu penting. Lama kelamaan jadi ke laut,” tegurnya.