Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh terus mempertahankan dirinya berikutan dakwaan Pemuda DAP (DAPSY) bahawa dia menghina golongan orang kelainan upaya (OKU).
Sebaliknya, Adun Merlimau itu sekali lagi menggunakan platform Facebook untuk membalas kritikan terhadapnya.
Dia mengulas hantaran yang dipercayai dimuat naik oleh bekas Adun DAP Selangor, Teng Chang Khim, yang menggelarnya “berperangai seperti anjing liar”.
Hantaran itu — yang kini dipercayai telah dipadam dari akaun Facebook Teng — memaparkan petikan artikel Malaysiakini berkaitan kenyataan Akmal bahawa cadangan agar pemimpin DAPSY diberikan kad OKU ditujukan kepada sayap itu, bukannya kepada komuniti OKU secara umum.
Akmal kemudian berkongsi tangkap layar hantaran tersebut.
“Bila kita pertahankankan lambang bendera Malaysia dan tak ada lagi isu yang mereka nak pertahankan akhirnya mereka tuduh kita pula sebagai anjing liar.
“Inilah perangai pemimpin mereka… Bukan hanya yang muda sahaja yang bengap, tetapi pemimpin senior pun bengap juga rupanya. Sebiji perangai babi hutan,” katanya.

Secara sinis, Akmal berkata selepas ini mungkin ada pihak yang menuduh dia menghina babi hutan.
Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAPSY, Lim Zheng Han menggesa Akmal meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, susulan kenyataannya yang mencadangkan kad OKU diberikan kepada DAPSY serta mendakwa anggota parti itu faham Bahasa Malaysia.
Lim mendakwa Akmal menyamakan DAPSY dan golongan OKU, serta cuba menggunakan label OKU sebagai alat menghina lawan politik.
Katanya, kenyataan tersebut bukan sahaja mencerminkan penghinaan terhadap golongan OKU, malah menunjukkan kelemahan dan ketidakmatangan kepimpinan Akmal.
Perbalahan itu bermula selepas DAPSY mengkritik tindakan Akmal yang beberapa kali membangkitkan isu bendera Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di sebuah sekolah Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ia kemudiannya dilaporkan bahawa insiden itu berpunca daripada kesilapan seorang pekerja OKU.
Susulan insiden tersebut, Akmal menggesa tindakan tegas diambil dan meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan Adun Lukut, Choo Ken Hwa, yang mendakwa kesilapan itu dilakukan oleh seorang pekerja OKU.
Ketua pemuda Umno itu turut menegaskan bahawa bendera negara perlu dihormati dan bukan diperlekehkan.
Dia juga mengecam sikap sesetengah pihak yang menurutnya sering melakukan kesalahan berulang, dan kemudian menunjukkan rasa kesal tanpa mengambil sebarang tanggungjawab.