Pandang Pertama Proton e.MAS 5 – EV Kelas Permulaan Pada Harga Mampu Milik ?
Ikhwan Nazri
Sedar atau tidak, Proton e.MAS dah menjengah setahun di pasaran tempatan dan sejak pelancaran Proton e.MAS 7, kita telah mula melihat lebih banyak kereta elektrik di jalan raya. Proton e.MAS 7 juga telah banyak dijual sepanjang tahun ini dan minggu ini mereka telah mengadakan sesi media membolehkan kami melihat dengan lebih dekat model kereta elektrik mereka yang seterusnya iaitu Proton e.MAS 5.

EV SUV Segmen-B Dengan Ruang Dalaman Bagaikan Segmen-C
Untuk sesi media kali ini kami diberikan peluang untuk melihat bahagian luaran dan dalaman dalam masa terhad dan juga menerusi sudut terhad kerana kereta yang dipaparkan merupakan versi prototaip, dan sekitar 60% sahaja yang mungkin berkait dengan versi akhir. Untuk e.MAS 5 ia mempunyai ruang storan hadapan frunk sebesar 70L yang boleh menempatkan pelbagai barangan kerana pacuan motor elektrik diletakkan di bahagian belakang, namun menyebabkan ruangan but storan belakang yang boleh dibuka dengan automatik ini hanya mempunyai ruang sebesar 375 L tanpa sebarang ‘ruang bawah’ seumpama Proton e.MAS 7. Ruangan storan belakang ini dapat diluaskan apabila kerusi belakang diturunkan, menjadikan ia mempunyai kapasiti sebesar 1320L.


Lampu hadapan dan rekaan but hadapan sekali pandang dilihat bagaikan Smart #1 yang mempunyai banyak sisi melengkung, termasuklah lampu e.MAS 5 yang tidak mengikut gaya rekaan e.MAS 7. Untuk model yang dipaparkan ini, ia menggunakan tayar Linglong 205/60 R16 dan bagi tujuan pengecasan, ia terletak di bahagian belakang sebelah kiri kereta ini. Ini juga merupakan satu lagi perbezaan berbanding e.MAS 7 yang menempatkan palam pengecasan di bahagian hadapan, sebelah kanan.


Di bahagian dalaman, Proton menyertakan paparan pemanduan bersaiz 8.8-inci dengan paparan inforia bersaiz 14.4-inci 1080p. Ia menggunakan sistem operasi Atlas, dan dikatakan turut menyokong tambatan Apple CarPlay dan Android Auto namun kami tidak berkesempatan mencubanya berikutan had masa 15 minit sahaja yang diberikan untuk sesi ini. Terdapat juga fungsi Peta Pengecasan terbina namun tidak dapat dicuba pada masa tersebut. Stereng pemanduan pula mempunyai dua tona warna, dan dari segi kemasan bahan, boleh dikatakan ia mempunyai banyak kemasan plastik, sesuai dengan harga yang bakal ditawarkan. Sedikit perbezaan adalah dari segi tombol pemilihan pemanduan yang diletakkan di bahagian tengah, dan e.MAS 5 tidak menggunakan tangkai gear pada stereng pemanduan.

Apabila duduk di bahagian belakang barulah dapat untuk pengguna merasa luasnya kereta elektrik dalam kelas Segmen-B ini. Di bahagian belakang ia menawarkan ruang kaki yang luas dengan ruang letak kaki yang juga cukup luas. Namun terdapat kekurangan dari segi palam USB-A yang disediakan, dan mungkin pada masa sekarang penawaran palam USB-C lebih bersesuaian. Bagi menjamin keselesaan, terdapat juga penghawa dingin yang boleh dilaraskan, dan ini sesuai dengan kita pengguna di garisan Khatulistiwa yang sentiasa panas dibawah sinaran matahari.
Prestasi Bersesuaian Kegunaan Bandar

Dalam sesi ini juga tiada sebarang sesi pandu uji yang ditawarkan, namun jika dilihat dari segi spesifikasi, Proton e.MAS 5 ini sesuai untuk kegunaan bandar. Bateri sebesar 40 kW menawarkan jarak perjalanan sejauh 325 KM WLTP, dengan pengecasan pantas DC 71 kW membolehkan pengecasan 30-80% sepantas 21 minit, dan pengecasan AC 6.6 kW mungkin akan memenuhkan bateri 0-100% dalam masa sekitar 7 jam. Dengan kapasiti bateri yang kecil, ia juga mempunyai motor elektrik yang memberikan kuasa maksimum 85kW dan 150 Nm tork, dengan pecutan 0-50 km/j sepantas 3.9 saat. Pada prestasi sebegitu dan jarak perjalanan yang pendek, jelas sekali EV ini disasarkan sebagai kelas permulaan, dan lebih sesuai digunakan untuk perjalanan dekat.


Buat masa ini tiada sebarang maklumat berkenaan harga mahupun penawaran aksesori lain, dan jika dilihat dari corak aktiviti promosi Proton e.MAS 7 tahun lepas, mungkin ia hanya akan dijual menjelang pertengahan Oktober tahun ini. Sekiranya anda berminat untuk melihat Proton e.MAS 5 ini dengan lebih dekat, acara jelajah Misi 5 sedang diadakan dimana konvoi Proton e.MAS 5 akan bersinggah di beberapa bandar utama, membolehkan anda melihat sendiri dan bertanyakan dengan Proton dengan lebih lanjut mengenainya.
- Ikuti Jelajah: Proton Misi 5

Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.