PARLIMEN | Seorang anggota parlimen pembangkang mengkritik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana didakwa tidak mengambil tindakan terhadap kenyataan tidak tepat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dikatakan tidak tepat dan dakwaan rasuah terhadap bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Bercakap di parlimen, anggota parlimen Bersatu Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menyasarkan kritikannya kepada Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (PH-Kulai).
Dalam soalan tambahan kepada timbalan menteri yang menjawab pertanyaan awal tentang langkah kerajaan memerangi kandungan berbahaya dalam talian termasuk penyebaran berita palsu, Wan Saiful mempersoalkan mengapa MCMC seolah-olah tidak bertindak dalam kes tertentu.
Dia merujuk kepada tuduhan terbaru perdana menteri bahawa pengerusi PN Muhyiddin Yassin mempertahankan pemberian subsidi minyak kepada orang asing – dakwaan yang dinafikan oleh presiden Bersatu.

“Adakah YB Tambun tak buat homework (kerja rumah) apabila datang ke Dewan (Rakyat) dan cakap perkara yang tak pasti, perkara yang salah dan perkara yang mengelirukan?
“Adakah ini salah satu contoh bagaimana kita perlu ingatkan YB Tambun bahawa tak pasti jangan kongsi, bukan sebut baru nak semak,” katanya disambut sorakan anggota parlimen pembangkang lain.
Anwar mengarahkan MCMC menyiasat sama ada Muhyiddin membuat sebarang kenyataan menyokong hak orang asing terhadap subsidi minyak.
Semalam, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata Anwar menyalahgunakan kuasa eksekutif dengan membuat campur tangan politik dalam badan penguatkuasaan yang sepatutnya bertindak secara bebas.
Sementara itu, Wan Saiful turut mengetengahkan siasatan polis terhadap MalaysiaNow, susulan laporan portal berita itu bulan lalu yang mengaitkan Farhash dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah.
“Yang saya pelik, baru-baru ini ada pendedahan bagaimana seorang ikon usahawan muda yang menjadi jutawan dengan secara yang amat cepat, dikatakan dapat kebenaran untuk buat kerja-kerja di negeri Sabah.
“Tetapi apabila pendedahan dibuat portal Malaysianow, bukan berita itu yang disiasat tapi portal berita pula yang disiasat.
“Seolah-olah individu yang dikatakan terlibat ini mempunyai imuniti dari sebarang tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Warisan juga mengutuk siasatan polis terhadap MalaysiaNow, dengan anggota majlis tertingginya Mudi Dubing meluahkan kekecewaan bahawa pihak berkuasa menyasarkan media, bukan menyiasat dakwaan itu.
Sebagai jawapan kepada soalan Wan Saiful, Teo hanya berkata jika mana-mana anggota parlimen mengeluarkan kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat, speaker sepatutnya yang mengambil tindakan sewajarnya, bukan MCMC.
Menjawab isu berkaitan Farhash, timbalan menteri itu menegaskan bahawa sebarang siasatan, jika dianggap perlu, akan diketuai oleh SPRM bukan MCMC.
“Saya faham dewan rakyat platform untuk ahli politik untuk utarakan pandangan sendiri dan bermain politik, tetapi kalau bukan bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan MCMC, minta maaf saya tak dapat nak jawab,” katanya.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, B Nantha Kumar.