Roblox Akan Menghalang Kandungan “Topik Sensitif” Diakses Pemain Bawah 13 Tahun
Effi Saharudin
Dengan hampir 112 juta pengguna aktif setiap hari, Roblox ialah antara platform permainan video paling popular di bumi yang fana ini. Tetapi ia juga memeningkan kepala ibu bapa yang risau kandungan yang tidak sesuai diakses oleh anak-anak. Contoh terbaik ialah saya terkejut permainan seakan Squid Game boleh diakses anak dengan mudah.

Minggu ini Roblox mengemukakan cadangan memperkenalkan label khas ke atas kandungan dengan “topik sensitif” yang menghalang ia diakses pemain berumur bawah 13 tahun. Jika permainan ini ingin dimainkan juga, pemain perlu meminta kebenaran ibu bapa terlebih dahulu.
Komuniti memberikan reaksi negatif kepada cadangan ini kerana apakah yang dikategorikan sebagai topik sensitif tidak dijelaskan dengan baik. Roblox sekadar mengatakan ia isu yang menimbulkan tindak balas emosi yang kuat dan memberikan pendapat yang berbeza tanpa jalan tengah.
Ada yang melihatnya adalah usaha menapis kandungan yang kini menjadi isu besar di UK. Terdapat juga segelintir melihatnya sebagai isu politik kerana rapat umum maya menyokong Palestin dilakukan dalam Roblox dua tahun lalu. Maklum balas pengguna Roblox akan dikumpul bermula 11 Ogos sebelum keputusan akhir diambil.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.