Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Ogos sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan Peguam Negara (AG) dalam permohonan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, untuk menjalani hukuman penjara di rumah.
Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan tarikh tersebut ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini.

AG, Mohd Dusuki Mokhtar, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari yang mengembalikan kes Najib ke Mahkamah Tinggi untuk didengar.
Permohonan Najib, yang memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah addendum yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah, masih pada peringkat permohonan kebenaran.
Dia turut menamakan AG, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang dan Reformasi Institusi), serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang sebagai responden dalam permohonan tersebut.
Permohonan kebenaran Najib ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Julai tahun lalu. Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 6 Januari, yang kemudian membawa kepada rayuan oleh pihak AG.

Najib disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah pada tahun 2022, melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM120 juta, sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta pada 2 Februari tahun lalu.