Malaysia Oversight

Reenas? Reenas ini apa benda?

By MkiniBM in August 7, 2025 – Reading time 3 minute
Reenas? Reenas ini apa benda?


Saya tertarik kepada perkataan “Reenas” yang diucapkan dari hiruk-pikuk perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat. 

Reenas? Reenas ini apa benda?

Apabila minyak mula-mula dijumpai di Miri, Sarawak pada tahun 1910 bawah pemerintahan Brooke, syarikat minyak Shell lebih awal mengaut keuntungan hasil bumi bertuah kita.

Tahun berselang, dekad berganti, lebih banyak minyak kemudiannya dijumpai di Sabah, dan seterusnya di , Terengganu–di Semenanjung Malaysia–melengkapkan segi tiga emas hitam kita.

Jika bukan kerana kebijaksanaan bapa-bapa kita yang terdahulu, segala kekayaan, kemasyhuran dan kenikmatan dari hasil bumi kita masih lagi dikuasai dan dikawal oleh syarikat minyak seperti Shell, Esso mahupun British Petroleum (BP). 

Mujurlah pada ketika itu, kebijaksanaan para pemimpin kita berusaha menubuhkan entiti yang akhirnya menjadi teraju utama kemajuan dan kekayaan bumi Malaysia sehingga ke hari ini, iaitu syarikat minyak Petronas.

Bolehkah kita bayangkan sekiranya kita tidak pernah ada Petronas? Kemungkinan separuh dari segala kemegahan yang kita ada pada hari ini, termasuklah Menara Berkembar KLCC, Litar Sepang mahupun bandar elit , tidak akan wujud.

Lebih separuh abad berlalu selepas penubuhan Petronas, kita sekali lagi diberkati dengan punca kekayaan yang entah dari mana, dan secara tiba-tiba ditagih oleh seluruh dunia; iaitu unsur nadir bumi  atau rare earth elements (REE).

REE ini amat berharga kerana ia menyumbang kepada pasaran teknologi moden seperti industri EV dan elektronik. Di Malaysia, simpanan REE bernilai potensi sekitar AS$168 bilion (bersamaan ±RM 747 bilion berdasarkan kajian ) jika dimanfaatkan sepenuhnya.

Malaysia memiliki sekitar 16 juta tan simpanan REE bukan radioaktif, terutamanya di negeri Terengganu, , Kedah, Perak dan Pahang.

Jumlah ini gila. Gila jika mahu dibandingkan dengan saiz ekonomi Malaysia. Ia berupaya melonjakkan Malaysia di peta dunia sebagai salah sebuah ekonomi penentu hatta saiz negaranya yang kecil!

Tetapi adakah kita mahu menunggu 20 ke 30 tahun lagi untuk bertindak? Adakah kita mahu membiarkan sejarah minyak sebelum penubuhan Petronas mengulangi episodnya? 

Adakah kita mahu membiarkan syarikat asing terlebih dahulu merobek kekayaan kita dan mendapat manfaatnya sebagaimana syarikat minyak Shell, Esso dan BP pada zaman sebelum penubuhan Petronas? 

Kita tidak boleh mengulangi kesilapan dan kealpaan kita dalam episod Petronas. Kita harus bertindak segera.

Apabila Hamzah menyebut Reenas, bagi saya ia bukanlah suatu terma yang sukar untuk difahami. REE bermaksud rare earth elements dan NAS adalah singkatan bagi “nasional”. Jadi, Reenas mirip entiti yang telah banyak berjasa kepada kita, iaitu Petronas.

Kita perlu suatu entiti baru yang berupaya mengurus REE kita seperti Petronas menguruskan minyak. Kita mahu melahirkan sebuah lagi gergasi korporat dunia seperti Petronas di pentas antarabangsa. Reenas adalah jawapannya.

Kita mahu pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama di antara negeri dan negara. Kita mahu hasil REE ini ditadbir dengan lebih kemas, tersusun dan mengikut tatakelola demi kemakmuran bersama. Reenas adalah jawapannya.

Ia merupakan satu cadangan yang mesti direalisasikan demi masa depan anak-anak kita. Rugi sekiranya potensi kekayaan hasil daripada REE ini tidak diuruskan dengan cermat. 

Ia ibarat menyerahkan lubuk emas untuk digali oleh orang yang buta warna. Kuning emas disangka kuning gangsa dan dijual pada harga yang entah apa-apa.


MOHAMAD SIDDIQ AZANI merupakan seorang Peguam dan pembaca setia Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link