Malaysia Oversight

Stadium Tuanku Syed Putra dinaik taraf September ini

By Utusan in August 7, 2025 – Reading time 2 minute
Stadium Tuanku Syed Putra dinaik taraf September ini


KANGAR: Padang Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, akan dinaik taraf selepas perlawanan keempat Liga A1 Semi Pro antara Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) dan Johor Darul Takzim II pada 15 September depan.

Kos naik taraf itu dianggarkan sekitar RM800,000 melibatkan proses baik pulih padang, papan mata (score board), tandas dan beberapa fasiliti lain di stadium berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, proses naik taraf itu akan menggunakan peruntukan daripada Persekutuan dan dijangka selesai pada awal tahun hadapan.

“Kos bagi menaik taraf padang dianggarkan sekitar RM300,000 manakala selebihnya membabitkan baik pulih fasiliti seperti score board, tandas dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dalam aksi pembuka tirai Liga A1 Semi Pro Sabtu lepas, Perlis GSA FC berjaya mengikat mata 0-0 selepas menerima kunjungan Kedah FA di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini.

Bagaimanapun, pertemuan aksi derby utara itu sedikit terganggu berikutan daripada keadaan faktor permukaan padang yang berlopak dan berpasir.

Selain itu, beberapa fasiliti di stadium berkenaan yang tidak sempurna seperti tandas turut menerima rungutan daripada sebilangan peminat bola sepak yang hadir memberi sokongan.

Dalam perlawanan kedua Jumaat ini, Perlis GSA bakal berkunjung ke Stadium Tampin, Negeri Sembilan menentang pasukan Machan FC.

Sementara itu, Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, sepanjang tempoh stadium dinaik taraf, pasukan itu berkemungkinan akan beraksi menggunakan padang Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Menurutnya, bagaimanapun, sekiranya venue itu tidak sesuai, Perlis GSA akan menukar lokasi perlawanan di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

“Kita akan tengok kepada keadaan kerana buat masa ini, kita pilih guna padang Unimap dan kalau tak sesuai, kita akan tukar ke padang UiTM,” katanya.-UTUSAN





Source link