Malaysia Oversight

PAC boleh panggil siapa saja, termasuk menteri

By MkiniBM in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
PAC boleh panggil siapa saja, termasuk menteri


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedia mendedahkan laporan siasatan penuh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Nafas kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Saya ingat mendedahkan laporan penuh kepada PAC tidak ada masalah, kerana PAC boleh memanggil mana-mana jabatan termasuk menteri sendiri untuk memberi penerangan, kata menterinya Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, katanya, pendedahan kepada umum “bergantung kepada perbincangan dari masa ke semasa”.

Perkara itu juga, katanya, perlu dirujuk kepada pihak yang mengendalikan urusan perundangan.

“Ada perkara yang dalam peringkat yang tak boleh dedah lagi, dalam siasatan dan sebagainya kita akan melihat dan masa akan menentukan. 

“Kita amat mengambil perhatian, kerana siasatan Nafas adalah hak awam dan kebanyakan orang kampung yang sebagai anggota dalam pertubuhan ini.

“Kita ambil perhatian penuh sama ada boleh didedahkan bergantung penasihat undang-undang,” kata anggota parlimen Kota Raja.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang mahu tahu apakah kementerian sedia mendedahkan laporan siasatan Nafas kepada PAC dan orang ramai.

Perlembagaan Nafas digantung pada 1 November tahun lalu bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus selepas kontroversi konflik dalaman dan ketidakharmonian.

Semasa tempoh penggantungan, Nafas akan diurus dan ditadbir oleh pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Nafas ditubuhkan 1972 sebagai badan induk kepada rantaian pertubuhan peladang yang memayungi pertubuhan peladang negeri, pertubuhan peladang kawasan dan lebih 600,000 anggotanya.

Badan itu juga merupakan pembekal utama baja kepada petani di Malaysia.


*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Qistina Nadia Dzulqarnain, B Nantha Kumar



Source link