Berbincang kemungkinan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah satu tindakan pramatang, kata Presiden MIPP Punithan.
Ini kerana, katanya, sehingga kini MIC tidak memberi sebarang kenyataan mahupun permohonan untuk menyertai PN.
“Bincang tentang perkara ini adalah pramatang kerana tidak ada sebarang perbincangan di peringkat PN setakat ini.
“Kita di PN mempunyai dasar konsensus yang perlu dipersetujui dan dihormati oleh semua parti untuk sebarang keputusan mahupun kerjasama dengan mana-mana parti. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan kaum India, maka MIPP akan dirunding terlebih dahulu.
“Sehingga kini tiada sebarang rundingan atau perbincangan rasmi tentang kerjasama mahupun penyertaan MIC. MIPP mempunyai pendirian tersendiri dalam hal melibatkan kaum India dan kerjasama politik dengan mana-mana parti berasaskan kaum India di dalam PN,” katanya.
MIPP merupakan salah satu komponen PN mewakili masyarakat India.
Namun, Punithan enggan memberi komen ketika ditanya adakah sebarang perbincangan tidak rasmi antara MIC dan wakil PN berlangsung.
“Kalau ada perbincangan tidak rasmi itu bukan hal saya kerana saya hanya boleh menyatakan pendirian sekiranya perkara itu dibawa ke Majlis Tertinggi PN,” katanya.
Sebelum ini, ekoran kenyataan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, bahawa parti itu diketepikan oleh kerajaan perpaduan — sekali gus mencetuskan perang mulut dengan Umno dan DAP — Presiden MIC, SA Vigneswaran, tampil menjelaskan bahawa semua pilihan kini terbuka.
“MIC sedia berunding dengan mana-mana pihak demi masa depan MIC dan kesejahteraan masyarakat India,” katanya pada Perhimpunan MIC Perak baru-baru ini.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata MIC belum menerima jemputan daripada mana-mana parti atau gabungan lain, namun menyatakan sudah tiba masanya parti itu mengambil tindakan demi kepentingan parti.
Susulan itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata PAS tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan MIC dan MCA di bawah PN.
Namun, katanya perkara tersebut masih perlu dibahas pada peringkat kepimpinan tertinggi.
“Kami fleksibel dalam urusan kerjasama politik, asalkan tidak melibatkan DAP,” katanya.
Mengulas lanjut, Punithan juga enggan memberi komen berhubung kenyataan presiden MIC itu.
“Apa yang presiden MIC ungkapkan itu bagi saya luas maksudnya.
“Konteks ucapan itu adalah sedia bincang dengan mana-mana parti kalau tak silap saya. Banyak maksudnya dan itu kena tanya presiden MIC sama ada parti itu mahu bincang dengan PH atau PN atau akhirnya kekal dengan BN,” katanya.