Beberapa pemimpin dan aktivis wanita tampil mengecam kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang menggunakan perumpamaan “lembu betina” dalam mengulas isu kepimpinan wanita.
Kenyataan Muhammad Salman disifatkan sebagai seksis, menghina wanita dan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.
Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata kenyataan pimpinan PAS itu jelas bersifat misoginis (membenci wanita).
Malah, Loh turut menyelar kenyataan tersebut sebagai lahir daripada “mulut longkang” Pemuda PAS.
“Saya amat kesal dengan kenyataan seksis, lagi bersifat pembenci perempuan begini yang terpacul daripada mulut longkang Pemuda PAS.
“Ia bukan sahaja akan menakutkan golongan wanita bukan Islam, tetapi ia juga cubaan terang-terangan untuk meminggirkan peranan wanita daripada tampuk kepimpinan arus perdana,” katanya kepada Malaysiakini.
Salman sebelum ini menyiarkan kenyataan di media sosial yang menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat, sambil memberikan analogi berdasarkan pengalaman lebih setahun dalam menternak lembu.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering mengetuai kawanan lembu – termasuk menentukan lokasi ragut, masa rehat, dan masa pulang ke kandang – manakala lembu jantan berfungsi untuk melindungi keselamatan kawanan.
Dia berhujah bahawa masyarakat harus mengelak daripada mencontohi lembu yang mengangkat lembu betina sebagai ketua, menegaskan bahawa dalam masyarakat, lelaki harus mengambil peranan kepimpinan mengikut ajaran al-Quran.
Susulan kenyataan itu, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.
Cemar imej Islam
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pula menyifatkan kenyataan Muhammad Salman sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi datang daripada seorang pemimpin politik muda dari parti yang membawa nama Islam.
“Islam itu mengangkat darjat wanita. Menyamakan pimpinan wanita dengan lembu betina ini bukan sahaja penghinaan terhadap wanita, akan tetapi mencemarkan imej Islam,” kata pemimpin DAP itu.

Young Syefura turut mendesak agar Ketua Penerangan Pemuda PAS itu memohon maaf dan membetulkan kenyataannya.
Ketua Penerangan Wanita Umno Johor, Haslinda Salleh turut mengkritik keras kenyataan pimpinan muda PAS itu menyifatkannya sebagai penghinaan keterlaluan dan mencerminkan kegagalan akhlak dalam politik semasa.
“Ini bukan sekadar soal sindiran politik, ini penghinaan terhadap wanita secara terbuka,” katanya.
Menurut Adun Tenang itu, wakil rakyat wanita daripada mana-mana parti merupakan pemimpin yang dipilih rakyat dan wajar dihormati, bukannya dijadikan bahan perumpamaan yang menjatuhkan maruah.
Lebih mengecewakan, katanya, apabila kenyataan itu bukan sahaja tidak ditegur, malah dipertahankan oleh pemimpin kanan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mendakwa perumpamaan tersebut bukan satu penghinaan.
“Adakah parti yang mengangkat nama Islam selesa dengan budaya memperlekeh wanita dalam ceramah politik?” soal Haslinda.
Haslinda turut mengingatkan bahawa Islam dan budaya Melayu menganjurkan adab dalam berkata-kata, serta memuliakan wanita bukan menjadikan mereka bahan jenaka murahan.
Justeru Haslinda menyeru kepimpinan tertinggi parti berkenaan agar tidak berdiam diri, kerana kegagalan bertindak hanya akan mengisyaratkan bahawa budaya menghina wanita dibenarkan atau lebih buruk, direstui.
“Wanita bukan haiwan. Wanita bukan lemah. Dan wanita bukan bahan hinaan politik,” katanya.
Pemikiran jumud
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengingatkan agar surah An-Nisa ayat 34 tidak disalah gunakan untuk membenarkan penghinaan terhadap wanita.
Katanya, ayat tersebut menekankan peranan kaum lelaki sebagai pelindung wanita dan bukan lesen untuk merendahkan atau menjadikan wanita bahan jenaka.
“Islam tak ajar kita hina wanita. Kalau ayat itu difahami betul-betul, ia tuntut tanggungjawab, bukan dominasi,” katanya ringkas.

Sentimen sama dikongsi Presiden Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), Maria Chin Abdullah yang menyifatkan kenyataan Muhammad Salman sebagai penghinaan kepada wanita termasuk kepada ibunya sendiri.
“Kenyataan sebegitu amat merendah-rendahkan martabat dan mencerminkan tahap intelektual yang cetek serta pemikiran yang jumud,” katanya.
Maria turut menekankan bahawa wanita kini cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan dan inovasi serta penglibatan mereka dalam kepimpinan seharusnya digalakkan, bukan dipandang sebagai persaingan.
“Jika tiada wanita di Parlimen, undang-undang penting seperti Akta Gangguan Seksual, Akta Keganasan Rumah Tangga, dan undang-undang rogol mungkin tidak akan wujud sebagai undang-undang negara,” katanya.

Maria juga turut mempersoalkan sama ada PAS bergerak seiring dengan zaman atau kembali ke era konservatif yang menindas wanita.
SIS Forum dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini juga turut menyelar kenyataan berbaur seksis yang dikeluarkan terhadap pemimpin wanita.
Pengarah Eksekutif SIS Forum, Rozana Isa pula menyifatkan kenyataan tersebut bukan sahaja biadab dan menghina, malah bercanggah dengan ajaran sebenar Islam.
Rozana berkata kenyataan sedemikian mencerminkan pemikiran sempit dan mundur tentang kepimpinan, serta kegagalan memahami nilai-nilai kepimpinan yang digariskan dalam Islam.
“Wanita yang berada dalam kedudukan kepimpinan bukan untuk dihina atau diperlekeh. Mereka berada di situ kerana memiliki kelayakan, kebolehan dan komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Rozana juga kesal dan turut mengecam penggunaan perbandingan kasar terhadap wanita sebagai satu bentuk penghinaan yang tidak wajar.
Tegasnya, Islam sangat menjunjung maruah dan kehormatan setiap insan tanpa mengira jantina.
“Menghina wanita dengan perbandingan melampau bukan sahaja tidak menghormati mereka, malah bercanggah dengan nilai teras Islam yang menjunjung martabat, kehormatan dan agensi setiap individu,” katanya.
Menurutnya lagi, al-Qur’an tidak pernah melarang wanita daripada memimpin, sebaliknya memperakui tanggungjawab bersama lelaki dan wanita dalam memelihara kebaikan.
Rozana turut merujuk kepada Surah al-Baqarah ayat 30 sebagai bukti bahawa tanggungjawab kepimpinan diberikan kepada seluruh manusia, lelaki dan wanita.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi,” katanya memetika surah itu.
Katanya lagi, Surah al-Ahzab ayat 35 pula secara jelas menunjukkan kesamarataan spiritual dan moral antara lelaki dan wanita dalam Islam.
Rozana menegaskan ayat tersebut adalah penolakan terus terhadap sebarang hujah yang cuba meremehkan peranan wanita dalam kehidupan awam atau spiritual.
“Al-Qur’an tidak membuat perbezaan dari segi ganjaran atau nilai berdasarkan jantina. Ia menghormati kedua-dua lelaki dan wanita atas keimanan, akhlak, dan sumbangan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, SIS menyeru agar retorik yang memperlekeh wanita dihentikan serta-merta, kerana ia bukan sahaja tidak mencerminkan ajaran Islam, tetapi bersumber daripada sikap budaya yang enggan menerima kemajuan dan keadilan yang dituntut agama.