Malaysia Oversight

Wee cadang LHDN diletak bawah parlimen

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


PARLIMEN | Presiden MCA Wee Ka Siong mencadangkan agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disusun semula menjadi badan berkanun bebas di bawah pengawasan Parlimen.

Wee berkata demikian ketika menyatakan kebimbangannya terhadap kuasa LHDN dan kemungkinan campur tangan politik.

Bercakap di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata kuasa LHDN yang meluas memerlukan pembaharuan struktur yang menyeluruh.

“LHDN tidak sepatutnya dilihat menjadi alat politik dan mengikut telunjuk pihak eksekutif dan LHDN tidak boleh terus beroperasi di bawah kawalan terus Menteri Kewangan seperti sekarang,” kata Wee.

Dia menegaskan perlunya pemisahan yang jelas antara penguatkuasaan cukai dan cabang eksekutif.

“Saya mencadangkan supaya LHDN dijadikan satu badan berkanun bebas dibawah seliaan Parlimen sebagai pemisahan jelas supaya LHDN tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik dan tekanan fiskal .

“Jadikan ini sebagai reformasi parlimen yang penting,” katanya.

Wee memetik contoh antarabangsa di mana pihak berkuasa cukai beroperasi secara bebas daripada eksekutif.

Di Amerika Syarikat, Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) diawasi secara langsung oleh Kongres, manakala di UK, Hasil & Kastam Seri Paduka Baginda (HMRC) beroperasi di bawah lembaganya sendiri tanpa arahan harian menteri.

Struktur serupa disediakan untuk Pejabat Percukaian Australia (ATO), yang bertanggungjawab kepada Parlimen.

Wee turut membangkitkan kebimbangan mengenai tuntutan cukai LHDN terhadap Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang menurutnya berpunca daripada pertikaian sama ada syarikat itu perlu dikenakan cukai di bawah Seksyen 7A atau 7B Akta Cukai Pendapatan.

Dia menarik perhatian bahawa 63 peratus daripada TNB dimiliki oleh entiti berkaitan awam seperti Khazanah Nasional, KWSP, PNB, KWAP dan agensi lain, membayangkan bahawa rakyat biasa Malaysia akhirnya akan menanggung beban kewangan.

“Ini bukan semata-mata mengenai dasar cukai, tetapi lebih kepada kehendak politik. Kementerian Kewangan yang diam membisu bukanlah bermakna berkecuali tetapi ia adalah penangguhan strategik, berkemungkinan berharap orang ramai tidak sedar dan tidak marah sebelum wang itu dikutip.

“Jika keputusan permohonan TNB itu akhirnya menjadi ‘Tidak’, ia bukan sekadar rampasan cukai, malah ia adalah rompakan di siang hari yang terang daripada dana persaraan rakyat sendiri, ditutupi dengan istilah birokrasi,” katanya.

Kenyataan “rompakan di siang hari” Wee mencetuskan perbalahan dengan Chong Zhe Min (PH-Kampar) yang memohon Perintah Tetap 36(12) kerana didakwa mengelirukan Dewan.

“Perkara ini telah melalui mahkamah. Mahkamah memutuskan berdasarkan undang-undang sedia ada – undang-undang yang ada ketika Yang Berhormat Ayer Hitam adalah seorang menteri.

“Kenyataan beliau mengenai ‘rompakan di siang hari’ bukan sahaja tidak tepat, ia mengelirukan Dewan,” kata Chong.

Pada 4 Julai lalu, dilaporkan TNB berdepan tunggakan cukai sebanyak RM5.05 bilion selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan ia tidak layak menuntut elaun pelaburan semula (RIA), yang diberikan untuk pengilang.

Pertikaian antara TNB dan LHDN dilaporkan bermula sejak 2015. Antara 2013 dan 2021, LHDN mengeluarkan RM9.25 bilion dalam taksiran cukai tambahan kepada TNB.

Selepas RM2.44 bilion penalti diketepikan melalui penyelesaian, potensi liabiliti bersih TNB dikurangkan kepada RM6.81 bilion.

Syarikat utiliti itu membayar RM1.76 bilion lagi pada Disember 2020, dengan anggaran tunggakan RM5.05 bilion.

*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar



Source link