Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan dia menyokong pemberian subsidi petrol kepada warga asing, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook petang ini, Muhyiddin menegaskan dakwaan Anwar adalah tidak berasas, malah menyifatkannya sebagai fitnah dan pembohongan.
“Saya sebenarnya tak pernah cakap begitu, saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya. Kenyataan itu adalah kenyataan yang berfitnah atau pembohongan.”
Menurut dia, kenyataan yang dibuat oleh Anwar dalam Parlimen itu bercanggah dengan prinsip dan dasar subsidi negara yang selama ini hanya ditujukan kepada rakyat tempatan, bukan warga asing.
“Apakah lagi yang memberikan penjelasan itu ialah perdana menteri di dalam Parlimen kerana saya tahu sejak dari dahulu lagi asas dan dasar kita berkenaan dengan subsidi ialah untuk rakyat Malaysia bukan warga asing,” katanya lagi.
Terdahulu, semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Anwar mendakwa bahawa Muhyiddin pernah mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak memberikan subsidi petrol kepada warga asing.
Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta Anwar menamakan pemimpin pembangkang yang didakwa menyokong pemberian subsidi kepada warga asing.
“Itu kenyataan ketua (PN) sendiri, Pagoh. Lain kali baca dulu, suruh datang Parlimen jangan pakai hentam kromo je.
“Ini saya dah jawab. baca kenyataan YB Pagoh mengapa bebankan orang asing kerana orang asing (juga) ada sumbangan kpd negara,” kata Anwar.
Tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut, Muhyiddin mencabar Anwar untuk membuktikan di mana dia pernah membuat kenyataan menyokong pemberian subsidi kepada warga asing.
“Saya nak tahu dia baca kat mana? Buku apa? Video apa? Ataupun PC (sidang media) yang saya buat di mana-mana pun, yang pastinya tidak ada.”
dia turut menuduh Anwar tidak membuat semakan yang betul sebelum mengeluarkan kenyataan di Parlimen.
“Bermakna perdana menteri tak buat semakan yang betul dan buat kenyataan di Parlimen, seolah-olah kenyataan di Parlimen itu semuanya betul. Saya nyatakan ini adalah satu pembohongan.”