Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan injunksi ad-interim yang difailkan seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ terhadap penyanyi rap Caprice yang didakwa memuatnaik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya, pada bulan lepas.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh mengeluarkan perintah supaya Caprice memadamkan serta-merta semua hantaran yang dirujuk sebagai fitnah terhadap plaintif, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy, 50, di semua platform media sosialnya.
Mahkamah juga menghalang Caprice daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif, sementara menunggu pelupusan penuh dan akhir pendengaran inter-parte bagi permohonan injunksi plaintif.
Perkara itu disahkan barisan peguam Jeyenderan iaitu Muniandy Vestanathan, Fiona Aurelia Culas dan Muhammad Afiq Yahawa, serta peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Caprice, ketika dihubungi Bernama.

Jeyenderan, sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, memfailkan saman fitnah pada 21 Julai lepas, dengan menamakan Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli 39, sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutannya, Jeyenderan, mendakwa pada 10 Julai lalu, defendan telah memuat naik beberapa hantaran di Instagram miliknya, termasuk gambar dan video plaintif yang didakwa mengaitkannya dengan kegiatan jenayah, gangsterisme, serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti yang sah.
Jeyenderan, pakar maritim, mendakwa hantaran tersebut bertujuan menimbulkan syak wasangka, kebencian masyarakat, dan tekanan sosial terhadapnya, selain menyatakan bahawa defendan tidak pernah menghubunginya atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan serius itu.
Dakwanya, tindakan defendan jelas menunjukkan bahawa beliau tidak berniat untuk menyampaikan maklumat yang adil dan benar, sebaliknya bertujuan mencemarkan nama baik dan reputasinya, kerana defendan mempunyai pengaruh yang besar di Instagram, dengan jumlah pengikut kira-kira lebih 1.5 juta orang.
Akibat daripada penerbitan tersebut, Jeyenderan mendakwa bukan sahaja reputasinya sebagai pakar perkapalan dan maritim telah terjejas di peringkat global, malah beliau telah mengalami kerugian khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak ceramah utama di Dubai, Turki dan India, yang ditawarkan oleh sebuah syarikat berpangkalan di Dubai.
Tambahnya, pada 15 Julai lalu, satu notis tuntutan telah dikeluarkan oleh peguamcara pihaknya yang mengemukakan beberapa tuntutan kepada defendan, namun kesemua tuntutan itu telah dinafikan oleh defendan melalui Tetuan Megat Iqbal & Co.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi sejumlah RM3 juta atas kerosakan reputasi, ganti rugi khas, ganti rugi am dan rugi teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Jeyenderan juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan sebarang kenyataan fitnah selanjutnya, memadamkan kesemua kenyataan fitnah berkenaan serta membuat permohonan maaf secara terbuka di semua akaun media sosial milik atau di bawah kawalannya.
– Bernama