Malaysia Oversight

Lelaki pecah masuk rumah pempengaruh direman empat hari

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
Lelaki pecah masuk rumah pempengaruh direman empat hari


Lelaki yang ditahan kerana disyaki memecah masuk rumah dipercayai milik seorang pempengaruh media sosial di Batu Maung, di Balik Pulau, direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata lelaki berumur 21 tahun itu direman hingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku semalam.

“Polis mendapat perintah reman selama empat hari terhadap lelaki itu bermula pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut kes terbabit dan suspek dijalankan secara terperinci,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, serta kes itu disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki gagal melarikan diri selepas berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam rumah yang dipecah masuk apabila ditahan oleh penghuni kediaman berkenaan dalam kejadian di Batu Maung.

Sazalee dilaporkan berkata siasatan awal mendapati suspek disyaki memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah.

Suspek telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pengadu (pemilik rumah), tetapi berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di rumah berkenaan.

Pengadu dan rakannya berjaya menangkap lelaki itu dan kemudian menyerahkan suspek kepada pasukan peronda polis (MPV) yang bertugas di Zon 3 Batu Maung.

Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman berdurasi 25 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek sedang menuruni tangga dan perakam video itu dipercayai pemilik rumah menyoal tindakan individu terbabit memasuki kediamannya.

– Bernama



Source link