PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Thailand dan Kemboja mahu Malaysia mengekalkan peranannya sebagai perantara, walaupun selepas tempoh kepengerusian Asean berakhir.
Anwar memaklumkan Dewan Rakyat hari ini bahawa dia menjangkakan rundingan akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan lagi, sambil mengingatkan bahawa perbincangan seperti ini tidak boleh dihadkan dari segi masa.

“Mandat diberikan itu dia minta saya teruskan sehingga keadaan itu selesai jadi tidak terikat sangat dengan kedudukan sebagai pengerusi Asean,” katanya semasa Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri sebagai menjawab soalan mengenai konflik Thailand-Kemboja.
Pada 28 Julai lalu, Anwar mengumumkan persetujuan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, yang menyaksikan ketegangan yang memuncak sejak 28 Mei berikutan insiden maut di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang askar Kemboja.
Kedua-dua negara jiran itu telah lama berdepan pertikaian berhubung sempadan sepanjang 817km, yang masih belum ditanda sepenuhnya.
Perjanjian gencatan senjata tersebut dicapai selepas rundingan damai yang dimediasi oleh perdana menteri di Putrajaya.
Anwar, selaku pengerusi Asean, berkata gencatan senjata itu merupakan salah satu persefahaman bersama yang dicapai dalam pertemuan yang dihadiri oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

Mengulas lanjut, Anwar menyentuh tentang keperluan untuk mengelakkan penglibatan kuasa besar dunia dalam pertikaian serantau.
“Jadi ini dgn cara ini kita elakkan penyertaan dan penglibatan kuasa-kuasa besar di antara rundingan di antara negara Asean.
“Kalau pun ada pasukan pendamai di sempadan harus hanya terbatas kepada kehadiran wakil-wakil atau tentera negara Asean.
“Kalau ada bantuan logistik dari Amerika Syarikat S dan negara China, itu kita alu-alukan,” katanya.
Dalam mengucapkan terima kasih kepada Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berdasarkan soalan yang diajukan, Anwar sempat menyindir pembangkang secara berseloroh kerana membaca doa ‘qunut nazilah’ semasa himpunan Turun Anwar baru-baru ini.
“Jadi terima kasih Sungai Petani memang dalam isu ini nampak kita sepakat jadi saya harap semangat ini diteruskan.
“Tak payahlah qunut nazilah tak payah lagi dah,” katanya.
Doa ini lazimnya dibaca oleh umat Islam apabila ditimpa musibah.
Sementara itu, Bernama melaporkan rundingan mengenai pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka dimuktamadkan pada Khamis ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC).
Anwar berkata Menteri Pertahanan kedua-dua negara akan bersama-sama untuk mencapai kesepakatan, sekurang-kurangnya bagi menghentikan atau meneruskan gencatan senjata, selain memastikan tiada lagi pelanggaran, termasuk di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

“Kita mengharapkan beberapa titik pertemuan yang diselaraskan oleh Malaysia dapat dimeterai pada 7 Ogos ini… kita berdoa agar mudah-mudahan ada pencapaian kesepakatan dan penyelesaian muktamad kerana ini bukan sahaja menjejaskan hubungan dua negara, malah turut menjejaskan nama baik Asean.
“Segala masalah ini harus cuba diselesaikan secara muafakat dan setakat ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Kemboja dan Thailand yang menunjukkan sikap sangat positif untuk mencapai penyelesaian muktamad,” katanya .
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam usaha menjayakan rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.