PARLIMEN | Peranan Kuala Lumpur dalam menjayakan rundingan damai serta gencatan senjata terkait konflik Thailand-Kemboja adalah antara fokus dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan Aturan Mesyuarat menerusi portal Parlimen, perkara berkenaan dibangkitkan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) kepada perdana menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi yang sama, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) pula memohon penjelasan daripada perdana menteri sama ada kerajaan Madani menguruskan hutang negara dengan bertanggungjawab atau sebaliknya.
Sementara itu, pada sesi soal jawab pula, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) bertanyakan menteri luar mengenai cadangan pembangunan bersama dengan Indonesia di blok ND 6 dan ND 7 Ambalat.
Dia juga ingin tahu jika kaedah yang sama digunakan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia Thailand (MTJDA) atau cara lain memandangkan hak-hak Sabah – serta Sarawak – terpelihara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula meminta perdana menteri menyatakan hasil sesi libat urus holistik bersama pihak berkepentingan berhubung status penubuhan Ombudsman Malaysia, serta langkah-langkah seterusnya bagi mempercepat pelaksanaan penubuhan badan tersebut.
Selain itu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pula bertanya kepada menteri pertahanan jika mereka ada perancangan untuk mengintegrasikan penggunaan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam sistem pertahanan udara negara.
Persidangan Dewan Rakyat selepas itu akan disambung semula dengan sesi perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.
– Bernama