Malaysia Oversight

Polis cari lelaki OKU hilang di Ampang sejak 1 Ogos

By TheSun in August 5, 2025 – Reading time 1 minute
Polis cari lelaki OKU hilang di Ampang sejak 1 Ogos


KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 43 tahun yang dilaporkan hilang sejak 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata, laporan kehilangan Norhafsham Nazri diterima daripada bapanya pada 2 Ogos sekitar 1.04 tengah hari.

“Pengadu menyatakan dia menghantar anaknya berehat di Kampung Warisan, Taman Melawati pada 1 Ogos kira-kira 2.30 petang, tetapi menjelang 9.30 malam, anaknya tidak pulang ke rumah. Pencarian di kawasan tersebut tidak menemui mangsa,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa, yang disahkan sebagai OKU mental sejak 2022, terakhir dilihat memakai kemeja-T berkolar bulat bercorak hitam dan merah, seluar jean gelap, serta kasut sukan. Dia juga membawa beg galas hitam.

Pencarian awal pada 2 Ogos menemui beg galas dipercayai milik mangsa di laluan menuju Bukit Tabur. Operasi pencarian kini memasuki hari keempat dengan tumpuan di sekitar Bukit Tabur dan Hulu Sungai Klang.

Beberapa agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Hulu Langat, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sukarelawan, penduduk kampung, dan Malim Gunung Jabatan Perhutanan .

“Orang ramai yang ada maklumat boleh hubungi Balai Polis Taman Melawati. Mereka yang ingin membantu operasi SAR diminta melapor diri di pos kawalan polis berdekatan,“ kata Mohd Azam – Bernama



Source link