Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan peruntukan berbilion ringgit daripada entiti berkaitan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan mengatakan ia memberikan gambaran mengelirukan terhadap keupayaan fiskal kerajaan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, jumlah yang dinyatakan – RM120 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta RM60 bilion lagi melalui kerjasama awam-swasta (PPP) – tidak pernah dimasukkan dalam rancangan negara sebelum ini.
“Pendekatan ini menimbulkan kebimbangan dari sudut kebertanggungjawaban fiskal dan ketelusan pelaksanaan.
“Kita sedia maklum bahawa peruntukan melalui PPP mahupun pelaburan GLC ataupun GLIC tertakluk kepada keutamaan commercial entity masing-masing, bukannya menjamin keberlangsungan projek pembangunan sosial dan kritikal seperti hospital daerah, sekolah pedalaman ataupun jaringan pengangkutan luar bandar.
“Maka memasukkan angka-angka ini dalam jumlah besar RMK13 boleh mencipta persepsi yang ia agak tak betul, atau persepsi palsu terhadap kapasiti sebenar kerajaan,” katanya semasa perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Sokongan GLC, GLIC
Menurut buku utama RMK13, pelaburan untuk pembangunan negara akan turut disokong melalui pelaksanaan projek oleh GLC, termasuk Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di bawah GLIC dengan peruntukan sebanyak RM120 bilion.

“Selain itu, pelaksanaan projek pembangunan di bawah kerjasama awam swasta (PPP) akan dipertingkatkan dengan turut melibatkan pembiayaan sektor swasta yang diunjurkan sebanyak RM61 bilion dalam tempoh RMK13,” menurut buku itu.
Antara projek yang dicadangkan Fadhli ialah pembinaan lebuh raya baru yang menghubungkan Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan.
Katanya, projek itu wajar dilaksanakan menerusi model penswastaan menggunakan mekanisme PPP.
“Laluan sedia ada antara Gerik dan Jeli ialah jalan persekutuan FT4 iaitu jalan dua hala tanpa pun pembahagian tengah, memakan tol banyak korban, laluannya digunakan pula oleh gajah-gajah berkeliaran.
“Laluan ini lokasi kemalangan, terdedah kepada kejadian tanah runtuh, memerlukan masa perjalanan sekitar 2.5 jam,” katanya.
Gajah, beruk, kambing
Mohd Sany Hamzan (PH–Hulu Langat) kemudian bangkit dan mempersoalkan mengapa cadangan ini tidak dikemukakan ketika PN menjadi kerajaan.
Dia turut menyindir Fadhli susulan hantaran Facebook sebelum ini yang menggambarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dengan karikatur haiwan.
“Tadi Pasir Mas ada sebut soal berkaitan gajah, cuma beruk dan juga kambing dia tak sebut,” katanya.
Fadhli membalas dengan berkata, “Bagus juga nama-nama binatang, masukkan dalam ucapan Hulu Langat selepas ini.
“Kadang-kadang sesuai dengan orang yang bertanya itu,” katanya mencetuskan kemarahan Sany yang mendesak agar Fadhli menarik balik kenyataan tersebut kerana dianggap biadab.
Namun Speaker Johari Abdul campur tangan dan meminta Sany duduk.

“Tak payah jawab pasal kambing, beruk, unta, lembu, tak payah,” kata Johari kepada Fadhli.
Sejak hantaran Facebook tersebut menerima kecaman ramai, Fadhli telah memadamkannya namun enggan memohon maaf, malah memuat naik semula karikatur tersebut serta mengugut untuk menyaman beberapa individu atas dakwaan fitnah.