Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Masiung Banah menolak cadangan kerjasama antara gabungan itu dengan PH dan BN bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.
Menurut laporan Sinar Harian, Adun Kuamut itu berkata tidak mungkin persefahaman dapat dicapai dengan BN.
“Tidak mungkin persefahaman itu dapat dicapai kerana ia akan mengelirukan pengundi. Lagipun GRS dan PH sudahpun terlebih dahulu mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik,” katanya .
Menurutnya, GRS dan PH Sabah sudah sebati dengan kerjasama politik yang sedia wujud dalam mengurus pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.
Dalam masa yang sama, dia berkata gabungan itu telah hilang kepercayaan terhadap Umno susulan tindakan parti itu menarik balik sokongan terhadap pentadbiran Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pada tahun 2023, selain sikap bermusuhan yang berterusan terhadap GRS.
Masiung juga menegaskan bahawa Hajiji harus mengetuai rundingan pembahagian kerusi sekiranya ketiga-tiga gabungan itu bersetuju untuk bekerjasama.
“Jika kerjasama tiga gabungan parti itu berlaku, kami berpegang pada kenyataan Perdana Menteri pada 11 Mei lalu di Tawau supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai rundingan pembahagian kerusi.
“Kami berharap Perdana Menteri menghormati pendirian kami dan mengotakan janjinya menyerahkan kepada Hajiji sebagai Pengerusi GRS untuk mengetuai rundingan kerusi kepada parti-parti dalam pakatan politik menjelang PRN-17,” ujarnya.
GRS, yang kini terpalit dalam skandal perlombongan membabitkan beberapa Adun termasuk Masiung, minggu lalu mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan kerjasama sedia ada dengan PH bagi pilihan raya negeri akan datang.
Masiung sebelum ini menolak klip video yang mengaitkan dirinya dalam skandal tersebut, dengan mendakwa ia telah disunting dan berseloroh bahawa dirinya kelihatan “kurang kacak” dalam video berkenaan.
Sementara itu, BN Sabah sebelum ini mengesahkan kerjasama dengan PH, menjadikan tugas Anwar lebih sukar untuk memastikan semua pihak yang bertelagah dalam gabungan kerajaan dapat bekerjasama serta mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi.
Semalam, Anwar menyatakan harapannya untuk mengelak pertembungan tiga penjuru yang boleh memecah-belahkan blok kerajaan dan mengelirukan pengundi di Sabah.
Pilihan raya negeri Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa, namun Hajiji masih mempunyai pilihan untuk menunggu Dewan Undangan Negeri terbubar secara automatik pada 11 November.
Sekiranya itu berlaku, pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya pada 10 Januari tahun depan.
Anwar mempunyai masa sehingga tarikh tersebut untuk merundingkan persetujuan yang dapat memuaskan hati GRS dan BN.