Malaysia Oversight

Mesyuarat GBC cerminan kepercayaan terhadap ATM

By Utusan in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Mesyuarat GBC cerminan kepercayaan terhadap ATM


 

PETALING JAYA: Penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Thailand dan Kemboja mencerminkan kepercayaan berterusan negara jiran terhadap keupayaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memimpin rundingan diplomasi ketenteraan secara profesional, neutral dan berkesan.

ATM dalam kenyataan berkata,pihaknya merealisasikan usaha penganjuran GBC Thailand dan Kemboja yang berlangsung hari ini sehingga Khamis bertempat di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.

Katanya, penganjuran rundingan diplomasi itu adalah selari dan bertepatan dengan hasrat negara sebagai Pengerusi ASEAN dalam usaha memelihara dan mengekalkan kestabilan keselamatan yang utuh di rantau Asia Tenggara.

“Ia juga berlanjutan daripada persetujuan yang dicapai ketika mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ibrahim bersama Perdana Menteri Kemboja dan Pemangku Perdana Menteri Thailand di Kompleks Seri Perdana, , pada 28 Julai lalu,” katanya hari ini.

Delegasi peringkat Sekretariat GBC dari kedua-dua negara telah tiba di Malaysia semalam dan memulakan mesyuarat di peringkat Sekretariat GBC bermula hari ini sehingga Rabu.

Ia bertujuan untuk menyelaras aspek pengurusan mesyuarat serta memuktamadkan agenda perbincangan dua hala yang bakal dibincangkan seperti Terms Of Reference (TOR) bagi penubuhan Pasukan Pemantau ASEAN serta perkara yang melibatkan hubungan dua hala antara Thailand dan Kemboja.

Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan yang dicapai ketika perbincangan Pasukan Diplomatik Malaysia diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar yang telah melaksanaan perjumpaan bersama kedua-dua pihak di Bangkok dan Phnom Penh pada 29 Julai lalu.

“Menelusuri persidangan ini, Mohd. Nizam hari ini telah berkesempatan melaksanakan sesi perjumpaan kepada kedua-dua delegasi sekretariat mesyuarat bertempat di Wisma Perwira ATM.

“Sesi perjumpaan bersama Ketua Sekretariat kedua-dua delegasi berkenaan membuka ruang pertukaran pandangan serta memberi penekanan akan kepentingan pelaksanaan Mesyuarat GBC Thailand – Kemboja pada kali ini.

“Ketua delegasi Sekretariat Thailand diketuai oleh Leftenan Jeneral Nuttapong Praokaew, manakala Ketua Delegasi Sekretariat Kemboja diketuai oleh Major Jeneral Sin Sokha,” katanya.

ATM bertindak sebagai pemudahcara pada mesyuarat sekretariat yang berlangsung selama tiga hari ini, yang diterajui oleh Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Datuk Zahari Mohd. Ariffin dan Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan, Datuk Mohd. Rafi Muhammad.

Mesyuarat GBC Thailand – Kemboja akan berlangsung Khamis ini dengan penglibatan daripada Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit, Panglima Angkatan Tentera dari kedua-dua negara serta penglibatan wakil daripada Malaysia, Amerika Syarikat serta yang dijemput sebagai pemerhati.-UTUSAN





Source link