Malaysia Oversight

NGO kecam kenyataan seksis ketua pemuda PAS Maran

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
NGO kecam kenyataan seksis ketua pemuda PAS Maran


Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dimuat naik Ketua Penerangan Pemuda Maran, Muhammad Salman Al Farisi yang menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan lembu betina dalam kawanan ternakan.

Pengasasnya, Napsiah Khamis Maharan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadap dan mencerminkan pemikiran yang mundur serta membahayakan kemajuan masyarakat.

“Sikap memperlekeh wanita sebagai pemimpin dengan menyamakan mereka dengan haiwan ternakan merupakan satu bentuk penghinaan terang-terangan terhadap peranan dan sumbangan wanita dalam masyarakat moden dan negara ini.

“Kami ingin mengingatkan bahawa wanita Malaysia telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sebagai pemimpin, ahli akademik, doktor, peguam, guru, dan aktivis masyarakat.

“Peranan mereka tidak wajar dikerdilkan hanya kerana tafsiran sempit dan prejudis gender yang tidak berlandaskan semangat sebenar yang mengangkat maruah dan potensi setiap insan tanpa mengira jantina,” katanya yang juga bekas ketua wanita Johor dalam kenyataan.

Semalam Muhammad Salman menerusi laman sosialnya memuat naik kenyataan yang menekankan pentingnya kepimpinan lelaki dalam masyarakat dengan memberikan analogi daripada pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.

Menurut pimpinan Pemuda itu, berdasarkan pemerhatian semasa menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut, termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang.

Sebaliknya, katanya lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

“Sepanjang setahun lebih ternak lembu ini, saya perasan yang di antara lembu jantan atau betina, lembu betina lebih bersifat ketua. Lembu betinalah yang akan bawa lembu jantan ke tempat ragut, berehat di mana dan balik jam berapa.

“Sebab itulah kalau boleh, kita jangan jadi seperti lembu yang mengangkat ‘betina’ sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua, dan ini seiring dengan ayat al-Quran dalam Surah An-Nisa ayat 34,” tambahnya, merujuk kepada ayat yang menegaskan peranan lelaki sebagai pemimpin dalam keluarga dan masyarakat.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Muhammad Salman untuk mendapatkan respons.

Sehubungan itu, Napsiah menggesa kepimpinan tertinggi untuk tampil membuat penjelasan dan mengambil tindakan disiplin terhadap individu terbabit.

Dalam masa sama dia juga menyeru rakyat Malaysia, terutamanya golongan wanita, untuk menolak politik berasaskan penghinaan terhadap wanita yang diselindungkan di sebalik retorik agama.

“Sebarkan kenyataan ini. Suara kita mesti didengar,” tambahnya.



Source link