Pemuda PAS Pahang menafikan tanggapan yang mengatakan program ‘Hogoh Jelai: Himpunan 30K Jentera PAS Pahang’ Okt ini bertujuan untuk menyemai kebencian.
Ketua penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar menegaskan, himpunan itu adalah untuk menunjukkan bahawa PAS mempunyai kekuatan dan bersedia untuk menerajui kerajaan negeri Pahang selepas pilihan raya umum (PRU) ke-16.
“Baru sahaja diumumkan kita akan anjur program besar-besaran ‘Hogoh Jelai: Himpunan 30K Jentera PAS Pahang’, menteri besar Pahang (Wan Rosdy Wan Ismail) dilihat sudah mula gelabah dan ketakutan.
“Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pahang, kami kesal terhadap sikap tidak bertanggungjawab menteri besar yang memfitnah kononnya program itu bertujuan menyemai kebencian.
“Berdasarkan video TikTok yang tular, jelas bahawa sebenarnya beliaulah yang cuba menyemai politik kebencian dan fitnah kepada rakyat Pahang – khususnya di DUN Jelai – terhadap PAS Pahang,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuantan, Pahang, hari ini.
Sebelum ini, PAS Pahang melancarkan kempen ‘PAS Teraju Pahang’ yang memasuki pusingan kedua dan memulakan siri jelajah ke hampir semua 42 kerusi DUN di Pahang, termasuk kerusi yang berpotensi dimenangi mereka dalam PRU ke-16.
Minggu lepas, PAS Pahang menyiarkan video pendek berkaitan program ‘Hogoh Jelai’ sebagai usaha berterusan mereka menggempur kerusi milik Umno, termasuk kerusi DUN Jelai yang disandang Wan Rosdy yang juga Naib Presiden Umno sejak lima penggal lalu.
Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Wan Rosdy mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 6,940 undi.
Dalam pada itu, Ahmad Azlan mengingatkan Wan Rosdy berhenti daripada mengamalkan cara berpolitik yang menurutnya kuno dan bacul.
“Kuasa bukan lesen untuk menuturkan apa sahaja walaupun berbentuk fitnah.
“Jika beginilah sikap menteri besar Pahang yang juga Adun Jelai, kami Pemuda PAS Pahang akan pastikan ‘Misi PAS Teraju Pahang’ bermula dengan penuh semangat di program ‘Hogoh Jelai’,” ujarnya.
Dia turut menjelaskan bahawa tidak ada perkara yang mustahil – termasuk Wan Rosdy tewas di kerusi DUN Jelai – dan PAS berjaya menubuhkan kerajaan negeri dalam PRU akan datang.