Malaysia Oversight

Asher-Smith pertahan gelaran 200m British

By Utusan in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Asher-Smith pertahan gelaran 200m British


BIRMINGHAM: Pelari pecut Britain, Dina Asher-Smith pamer prestasi mantap menjelang Kejohanan Dunia bulan depan apabila mempertahankan gelaran 200 meter British dengan catatan masa 22.14 saat, sekali gus mencipta rekod kejohanan baharu di Kejohanan Olahraga UK, semalam.

Meskipun meraih kemenangan, Asher-Smith, 29, terpaksa menanti keputusan foto penamat selepas dicabar hebat rakan sepasukan, Amy Hunt yang turut mencatat masa sama sekaligus merupakan  satu rekod peribadi terbaik buat pelari muda berusia 23 tahun itu.

“Asalnya kami tak tahu siapa menang. Tapi saya gembira dapat turun dan beraksi dengan masa sebegini baik,” katanya.

Wakil Britain itu sebelum ini menduduki tempat keempat di Sukan Olimpik Paris 2024, namun masa yang direkodkannya di Birmingham kelmarin cukup untuk meraih gangsa andai dicatat ketika Olimpik lalu.

“Saya mahu sangat (menang). Saya berada dalam prestasi terbaik. Ada beberapa aspek boleh diperbaiki, jadi saya sangat yakin,” katanya.

Sementara itu, Hunt, yang turut menjuarai acara 100m sehari sebelum itu, menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala  pemenang tempat kelima di Olimpik, Daryll Neita meraih tempat ketiga.

Catatan Hunt itu membolehkannya melonjak ke tangga ketiga sepanjang zaman dalam ranking pelari 200m wanita Britain, hampir menewaskan legenda sukan negara itu, Kathy Cook.

“Saya tak sempat lakukan ‘dip’ di garisan penamat, tetapi itu satu catatan masa yang serius. Saya kini berada di tangga ketiga sepanjang masa. Ia sesuatu yang sangat mengujakan,” ujar Hunt. – AGENSI

 





Source link