Malaysia Oversight

Pemuda MCA persoal naik taraf aerotrain KLIA lepas rosak berulang kali

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Pemuda MCA persoal naik taraf aerotrain KLIA lepas rosak berulang kali


Gangguan berulang kepada Perkhidmatan Aerotrain KLIA sejak dilancarkan semula bulan lepas telah menyebabkan Pemuda MCA mempersoalkan kualiti dan kebolehpercayaan projek bernilai RM456 juta itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung menegaskan bahawa dana yang dibelanjakan untuk operasi pengangkutan ulang-alik lapangan terbang itu mewakili pelaburan besar dana awam, sekali gus menjadikan isu operasi menjadi kebimbangan orang ramai.

Menggesa Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyediakan laporan yang jelas dan telus mengenai isu-isu yang berkaitan dengan perkhidmatan itu, Saw turut menggesa agar langkah pembetulan segera dilaksanakan untuk mengelakkan kejadian selanjutnya.

“Perlu ada kejelasan sama ada isu berulang (dengan perkhidmatan aerotrain) adalah disebabkan oleh kecacatan sistem, komponen yang rosak atau kesilapan manusia.

“Apapun, untuk menangani masalah itu dengan berkesan dan memastikan keselamatan penumpang dan keyakinan orang ramai terhadap aerotrain, kementerian mesti bertindak pantas untuk mengenal pasti dan memahami punca gangguan perkhidmatan ini,” tambah Saw.

Oleh itu, dia mengesyorkan kementerian menubuhkan jawatankuasa khusus untuk menyiasat faktor asas di sebalik isu yang menjejaskan aerotrain.

Dia berkata memandangkan KLIA berfungsi sebagai pintu masuk utama pelawat antarabangsa, isu dengan aerotrain bukan sahaja akan menyusahkan penumpang, tetapi juga merosakkan imej Malaysia di peringkat global.

Aerotrain yang dirombak menyambung semula sistem penggerak penumpang automatiknya yang dinaik taraf pada 1 Julai selepas menjalani baik pulih RM456 juta bagi menggantikan jentera dan infrastrukturnya yang semakin usang.

Sistem yang dikemas kini itu dilaporkan telah menjalani ujian dan pentauliahan yang ketat selama enam bulan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) antara Januari dan Jun 2025.

Pada 4 Julai lalu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata perkhidmatan itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan air bertakung dalam terowong akibat hujan lebat.

Pengendali lapangan terbang itu, yang terpaksa mengangkut penumpang ke terminal satelit KLIA menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik, berkata salah satu pam dalam sistem perparitan terowong mengalami “kerosakan teknikal” yang menghalang penyingkiran air terkumpul secara automatik.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke juga berkata pam itu bukan sebahagian daripada program penggantian aerotrain, menegaskan bahawa kejadian itu sama sekali bukan “kerosakan” aerotrain.

Seminggu kemudian, pada 12 Julai, aerotrain rosak, dengan satu unit terkandas tidak jauh dari pintu platform.

Pada masa itu, MAHB berkata ia sedang menyiasat perkara itu dengan kontraktor Alstom.

Aerotrain itu dikatakan rosak semula awal hari ini, dengan penumpang yang kecewa berkongsi di X.”Aerotrain KLIA rosak lagi?! Repair berjuta tapi tak mampu menampung kapasiti penumpang. Apa benda ni weh?!”

Dia turut menandai Loke, MAHB dan Perdana Menteri Ibrahim dalam catatan itu, serta berkongsi imej penumpang yang memenuhi salah satu pintu keluar lapangan terbang selepas aerotrain itu dikatakan tidak dapat mengangkut lebih ramai penumpang.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan ulasan.



Source link