Malaysia Oversight

Buang enam perangai buruk agar RMK13 tak tergelincir

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Buang enam perangai buruk agar RMK13 tak tergelincir


PARLIMEN | Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, memberikan amaran penting bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Dalam perbahasan RMK13, Ahli Parlimen Pandan itu berkata enam sikap buruk dalam kalangan masyarakat, dan ahli politik perlu diubah agar RMK13 dapat dilaksanakan dengan efektif.

“Tadi, ahli parlimen Sik (Ahmad Tarmizi Sulaiman) ada tanya apa yang akan menyebabkan pelaksanaan ini akan tergelincir.

“Saya berpendapat bahawa pelaksanaan ini akan tergelincir jika kita masih lagi ada enam perangai ini.

“Antaranya, enam perangai perlu dibuang ialah (apabila) tukar buang rancangan (Malaysia), ‘bukan idea aku maka aku tak akan sokong’, ‘sokong di depan tapi tolak di belakang’ dan rancangan lain tapi peruntukan digunakan untuk program lain,” katanya dalam ucapan perbahasan di parlimen hari ini.

Rafizi, berkata sikap segelintir pihak mengambil tunggu dan lihat dan sentiasa menolak rancangan baru kononnya program itu sudah pun ada juga perlu dijauhi untuk menjayakan RMK13 ini.

“Jika sikap-sikap ini diteruskan tanpa perubahan, semua anjakan dasar dalam RMK13 hanya akan tinggal dalam dokumen tanpa pelaksanaan konkrit,” katanya.

Untuk rekod, Rafizi sebelum ini menzahirkan rasa gembira apabila hampir 95 peratus daripada yang dibangunkan sepanjang proses merangka hingga dia meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, kekal dalam RMK13.

Pada 31 Julai, Perdana Menteri Ibrahim membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat.

Rafizi berkata semua pembaharuan besar yang melibatkan perubahan kepada sistem pendidikan, struktur ekonomi, dan tumpuan kepada perkara baru seperti agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga, dikekalkan seperti sedia ada.

Dia berkata, selain itu, rekayasa ekonomi yang dimulakan sebelum ini, daripada NETR, KL20, JSSEZ, ‘Made by Malaysia’, beralih ke ekonomi berasaskan ‘consumption powerhouse’, CCUS dan yang dibangunkan serta belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ), semuanya ada.

Begitu juga beberapa hasil kerja Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuk pelaksanaan ‘anti red tape act’ (Iltizam) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan.

Akta Iltizam bertujuan untuk mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar



Source link