Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Isnin mengutuk tindakan sekumpulan pelampau Yahudi yang diketuai oleh menteri Israel, Itamar Ben-Gvir menceroboh ke dalam pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki pada Ahad.
“Pakistan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan terbaharu oleh menteri-menteri Israel yang diiringi kumpulan peneroka haram dan dilindungi polis Israel ke atas Masjid al-Aqsa ,” kata Shehbaz di platform X.
“Tindakan mencemari satu daripada tapak paling suci umat Islam ini bukan sahaja menghina umat Islam di seluruh dunia tetapi juga serangan langsung terhadap undang-undang antarabangsa dan hati nurani kolektif manusia,” katanya.
Perdana menteri Pakistan berkata “tindakan tidak tahu malu” Israel itu bertujuan mencetuskan lebih banyak kekacauan di Palestin dan seluruh rantau.
Banyak negara Islam turut mengecam provokasi terbaharu Israel itu sebagai sebahagian daripada kempen lebih meluas rejim Zionis untuk mencetuskan ketegangan.
“Provokasi sistematik oleh Israel bersama-sama dengan seruan baru-baru ini untuk pengilhakan, menyasarkan asas kepada penyelesaian dua negara dan menjejaskan aspirasi untuk keamanan secara serius,” kata Kementerian Luar Turkiye pada Ahad.
“Pelanggaran ini, yang jelas mencemari kesucian dan status keagamaan tapak suci ini serta secara terang-terangan melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekali lagi membuktikan niat jahat rejim Zionis untuk mengekalkan ketegangan dan krisis di Palestin yang diduduki dan di rantau sekitarnya,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei.
– Bernama