Pengerusi Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan, Lee Kong Hing, yang terpalit kontroversi selepas menggunakan topeng daripada tuala wanita dalam satu protes berhubung pertikaian dalaman parti itu semalam, memohon maaf atas tindakannya.
Dalam satu sidang media di Seremban hari ini, Lee berkata dia tidak berniat menghina atau mendiskriminasi wanita.
“Berkenaan penggunaan tuala wanita itu, saya sebenarnya sangat menghormati wanita. Saya langsung tiada niat untuk menghina mereka dan saya harap mereka tidak salah faham. Ia hanya digunakan sebagai alat peraga.
“Sebab ia kalis udara dan kalis air, jadi saya fikir ia sesuai, kan? Sebab mereka (jawatankuasa DAP negeri) tidak bersuara, jadi saya cuba sampaikan perkara itu semalam. Itu sahaja,” katanya, menerusi video yang diterbitkan oleh Sin Chew Daily.
Lee kemudian tampil memohon maaf.
“Kalau tindakan saya itu dianggap menghina, saya cuma nak cakap ‘maaf lah’, saya minta maaf sikit,” katanya.

Namun, dia mendakwa ada menerima panggilan daripada beberapa wanita yang menyatakan mereka tidak berasa terhina dengan tindakannya.
Sidang media hari ini dilaporkan diatur oleh Pengerusi Kelab Veteran DAP Kebangsaan, Lay Hock Peng.
Lee mengucapkan terima kasih kepada Lay atas keprihatinannya terhadap isu berkenaan.
“Dia sangat ambil berat, takut saya ‘jatuh longkang’ ke apa. Dia sanggup datang dari Pulau Pinang, risau saya buat silap lagi. Saya hargai perkara itu,” katanya.
Lee berkata dia tidak menyangka perkara itu akan menjadi sebesar ini.
Dia mengulangi bantahannya terhadap keputusan mencalonkan Vincent Wu – ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP – sebagai senator yang mewakili Negeri Sembilan. Lee menyifatkan Wu sebagai “orang luar”.
Namun, katanya, Kelab Veteran Negeri Sembilan tiada pilihan selain menerima keputusan itu kerana kepimpinan negeri enggan menarik balik pencalonan berkenaan.
“Kami tak boleh buat apa-apa..Dia pun pemimpin kita juga,” katanya merujuk kepada Pengerusi DAP Negeri Sembilan merangkap Setiausaha Agung parti, Anthony Loke.
Terdahulu, dalam satu sidang media berasingan, Loke mengecam tindakan Lee menggunakan tuala wanita sebagai simbol protes dan menggesanya memohon maaf.