Malaysia Oversight

KPT pastikan graduan berdaya saing

By Utusan in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
KPT pastikan graduan berdaya saing


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan graduan institusi pendidikan tinggi kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja nasional.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, beberapa langkah strategik jangka panjang akan dilaksanakan sejajar pengukuhan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Jelasnya, langkah itu termasuk pelaksanaan Model 2u2i iaitu dua tahun di universiti dan dua tahun di industri, Industry on Campus (IOC) dan Sijil Industri dan Profesional (SIAP) yang diperluas bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pengalaman industri sebenar.

“KPT turut melaksanakan semakan kurikulum secara berterusan
supaya sentiasa selari dengan kehendak industri, dasar dan keperluan pembangunan negara.

“Perancangan jangka panjang merangkumi laluan pendidikan daripada peringkat sijil sehingga ke peringkat tertinggi, termasuk dalam kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 yang bakal dilancarkan tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai perancangan jangka masa panjang KPT bagi memastikan graduan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta kekal relevan dalam pasaran kerja nasional menjelang era pengukuhan sistem TVET.

Zambry berkata, kementerian turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem TVET yang holistik dan responsif terhadap keperluan industri, serta berupaya melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran teknologi masa depan.

Jelasnya, penekanan diberikan kepada program-program baharu yang mempunyai permintaan tinggi seperti analisis data, automasi dan keselamatan siber.

“KPT juga akan melaksanakan sistem pemantauan berasaskan hasil, pemantapan tenaga pengajar TVET, Pembelajaran Modular dan Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (APEL).

“Selain itu, tumpuan penambahbaikan skim perkhidmatan dan insentif bagi tenaga pengajar serta graduan TVET turut dilihat sebagai elemen penting.

“Kerjasama strategik antara pihak dan industri terus diperkuat bagi menyelaraskan keperluan tenaga kerja dengan penawaran pendidikan tinggi dan TVET,” katanya.-UTUSAN





Source link