Lima warga Iran yang ditahan pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing di sekitar pusat bandar George Town dipercayai anggota sindiket yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam mencuri wang.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Alwi Zainal Abidin berkata berdasarkan siasatan awal, modus operandi sindiket itu ialah bergerak secara berkumpulan dan memasuki Malaysia sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial.
“Polis sedang menyemak pergerakan keluar masuk dan ketulenan pasport lima warga asing itu dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Mereka tiba di Kuala Lumpur sebelum datang ke Pulau Pinang menaiki kereta sewa pada 27 Julai lalu serta menginap di sebuah inap desa di Batu Feringghi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelupusan barang kes dadah bagi Kontinjen Pulau Pinang di Kepala Batas hari ini.
Mohd Alwi berkata polis percaya sindiket terbabit aktif melakukan jenayah curi sejak tiba di Pulau Pinang, namun tiada laporan diterima daripada mangsa, mungkin kerana kerugian dialami mereka adalah kecil.
Semalam media melaporkan polis menahan tiga lelaki dan dua wanita termasuk pasangan suami isteri di sebuah pusat beli-belah di George Town menerusi Op Tourist bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing yang dipercayai dipukau di sekitar pusat bandar.
Pada 30 Julai hingga 1 Ogos lalu, polis menerima tiga laporan kejadian curi wang tunai melibatkan pelancong yang berlaku di Pulau Tikus dan Jalan Penang membabitkan mangsa warga Taiwan, Belanda dan Syria berusia 29 hingga 52 tahun.
Sesulan penahanan kelima-lima individu berusia berusia 19 hingga 35 tahun itu, polis merampas pelbagai mata wang asing, dua kenderaan dan sepeket ganja.
Mohd Alwi berkata setakat ini polis mendapati tiga kes dilakukan anggota sindiket berkenaan membabitkan kerugian RM3,000. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada mereka melakukan jenayah sama di daerah lain atau tidak.
Polis juga, katanya, sedang bekerjasama dengan Kedutaan Iran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan mereka.
“Semua mereka direman hingga 6 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 akta sama serta Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dia turut menasihatkan orang ramai terutama pelancong asing yang menjadi mangsa sindiket itu agar tampil membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.
– Bernama