KUALA LUMPUR: Seramai 26 anggota dan pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dibuang kerja tahun lepas kerana terlibat dalam sindiket counter-setting.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi tahun 2023, lapan individu turut dikenakan tindakan sama.
Saifuddin menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangani 50 kes phantom travellers atau ‘pengembara hantu’.
Dua kes sedang dalam proses pertuduhan di mahkamah, manakala selebihnya melalui pelbagai peringkat termasuk siasatan dalaman dan penyediaan kertas siasatan.
“Semua tindakan ini bukan cakap kosong. Tidak kira siapa pun yang terlibat, kita kini mengamalkan toleransi sifar terhadap rasuah,“ katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai status kes counter-setting di KLIA.
Menjawab soalan asal Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya), Saifuddin berkata kementerian sedang melaksanakan pendigitalan perkhidmatan imigresen, termasuk pemasangan 635 pagar automatik di 123 pintu masuk di bawah Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Pagar automatik akan dipasang di beberapa lokasi utama seperti Kompleks Sultan Iskandar (Johor), KLIA 1 dan 2, Lapangan Terbang Kuching, Kota Kinabalu, dan Pulau Pinang mulai Disember ini.
Sistem ini menggunakan pengenalan biometrik seperti imbasan muka, iris, dan cap jari bagi mengelakkan manipulasi kemasukan pengembara.
Selain itu, kementerian akan melaksanakan ujian konsep (POC) pemakaian kamera badan bagi petugas penguat kuasa di KLIA, dengan perolehan 614 unit dijangka bulan depan.
Sistem Advance Passenger Screening System (APSS) turut diperkenalkan bagi membolehkan maklumat penumpang dikenal pasti lebih awal.
“Kita juga menjalankan program kesedaran antirasuah dengan kerjasama SPRM, polis, dan agensi lain. Setakat ini, 185 kursus telah dilaksanakan,“ jelas Saifuddin. – Bernama