Malaysia Oversight

Ahmad Syafiq cari identiti, enggan terus disamakan dengan Khai Bahar

By Utusan in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Ahmad Syafiq cari identiti, enggan terus disamakan dengan Khai Bahar


KUALA LUMPUR: “Mati-mati ingat Khai Bahar.”

Demikian komen netizen terhadap cara nyanyian, Ahmad Syafiq yang disamakan dengan penyanyi bersuara lantang itu.

Mengulas lanjut, penyanyi berusia 25 tahun itu mengakui tidak mampu menepis pandangan netizen yang sentiasa menyamakan nyanyiannya dengan Khai Bahar.

“Kalau boleh saya tak mahulah disamakan dengan penyanyi lain. Tetapi saya tak boleh menidakkan pandangan pendengar.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah ubah nyanyian supaya tidak terus dikatakan seperti Khai Bahar.

“Tapi saya pun baharu dan masih dalam proses mencari identiti sendiri. Tapi saya tak boleh elak kalau disamakan juga. Suara yang saya ada ini anugerah Allah,” katanya ketika sidang media telemovie Boss Nak Cuti baru-baru ini.

Naib Juara program realiti Lagu Cinta Kita musim kedua ini berlapang dada sekiranya namanya masih belum dikenali dalam dunia hiburan tanah air meskipun sudah merakamkan enam lagu.

Ahmad Syafiq menganggap belum ada rezeki untuk dia menyinar dan dikenali.

“Saya berusaha untuk menaikkan nama. Bahkan sebelum ini giat mempromosikan single terbaharu saya berjudul Bila Hatiku Rindu di radio dan sebagainya.

“Tapi saya sendiri tak ada jawapan kenapa nama saya masih belum dikenali. Pada saya bukanlah tak ada, tapi mungkin belum sampai rezeki untuk terkenal.

“Sebab itulah saya sekarang ini berjinak-jinak jadi pelakon pula. Mungkin selepas ini nama saya lebih dikenali,” katanya yang melakonkan watak Rashdan dalam telemovie berkenaan.

Sementara itu pemilik nama sebenar Ahmad Sayfiq Mohamed ini tidak akan sesekali menggunakan publisiti murahan untuk menaikkan nama.

“Niat saya masuk industri seni ini adalah untuk mencari rezeki demi membahagiakan mak ayah saya.

“Dan saya nak jaga nama selepas sekian lama bersusah payah mencari tapak dalam industri ini.

“Kalau pun perlu untuk saya mencipta gimik, biarlah yang bersih dan tidak merosakkan nama keluarga,” kongsinya. – UTUSAN

 

 





Source link