Malaysia Oversight

Isu sindiket Fly di KLIA dan peruntukan banjir jadi fokus Dewan Rakyat

By TheSun in August 4, 2025 – Reading time 1 minute
Isu sindiket Fly di KLIA dan peruntukan banjir jadi fokus Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Isu rasuah dan penyelewengan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pendedahan kes sindiket Fly dan U-turn menjadi antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, persoalan itu dibangkitkan oleh Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) kepada Menteri Dalam Negeri.

Beliau juga ingin mengetahui tempoh masa isu tersebut dapat diselesaikan.

Pada sesi sama, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan garis panduan dan kriteria Jabatan Pengangkutan Jalan dalam meluluskan siri plat nombor kenderaan khas.

Soalan turut melibatkan jumlah kutipan hasil penjualan plat khas bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) pula mengajukan soalan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung penambahbaikan peruntukan tetap tahunan bagi pengurusan banjir.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai usaha membangunkan sistem khusus untuk penyelenggaraan sungai dan aset kawalan.

Sementara itu, Datuk Ali Biju (PN-Saratok) meminta Menteri Komunikasi menyatakan perancangan bagi perluasan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) di Sabah dan Sarawak.

Selepas sesi soal jawab, Ahli-Ahli Parlimen akan menyertai perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim pada Khamis lepas.

RMK13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ merangkumi perancangan strategik negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos. – Bernama



Source link