Malaysia Oversight

Wanita DAP kecam tindakan ahli veteran protes guna tuala wanita

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Wanita DAP kecam tindakan ahli veteran protes guna tuala wanita


Wanita DAP hari ini mengecam tindakan Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan yang menggunakan perumpamaan tuala wanita untuk mempersendakan ahli parti dan menganggap ia langkah mengekalkan stigma ke atas haid.

Bercakap kepada Malaysiakini, ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, berkata pihaknya mengakui beberapa gerakan sivik mencabar stigma tanggapan tersebut dan menormalkan fungsi semula jadi badan, menggunakan tuala wanita sebagai alat untuk mengejek memberi kesan sebaliknya.

“Menggunakan tuala wanita sebagai alat serangan atau ejekan hanya memperkukuh rasa malu dan stigma yang sekian lama dikaitkan dengan haid,” katanya.

Timbalan menteri komunikasi itu turut menegaskan isu kekangan produk menstruasi dengan sesetengah pelajar terpaksa ponteng daripada sekolah semasa kitaran haid kerana ketidakmampuan untuk membeli produk sanitari.

“Dan sekarang mereka membazirkan tuala wanita dalam kuantiti yang banyak hanya untuk mengejek pesaing politik mereka.

“Saya tidak bersetuju dengan ini,” kata Teo.

0ee25f672fd1d5bf9758816b7de47190
Teo Nie Ching

Semalam, Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan menyelar jawatankuasa parti negeri kerana “menggadaikan” orang setempat ekoran pemilihan seorang “individu luar” dari negeri itu sebagai senator.

Pada sidang akhbar yang diadakan, pemprotes menjadikan tuala wanita sebagai topeng dalam langkah mempersenda jawatankuasa negeri yang dianggap berdiam diri apabila Vincent Wu – anak kelahiran Johor yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP – dipilih sebagai senator bagi mewakili Negeri Sembilan.

Pengerusi kelab itu, Lee Kong Hing, mendakwa ‘topeng’ itu memang tebal, padat, memiliki daya serapan tinggi, dan kalis bunyi.

Dia juga menganggap tuala wanita berkenaan sebagai “contoh sempurna” bagi menggambarkan betapa senyapnya kepimpinan negeri menangani isu berkenaan.

Untuk rekod, DAP Negeri Sembilan diketuai oleh setiausaha agung parti – yang juga menteri pengangkut – Anthony Loke.

Sementara itu, Wanita DAP Wilayah Persekutuan turut mengecam tindakan kelab terbabit dan menggesa semua ahli parti menyatakan pandangan secara membina, bukannya melalui tindakan provokasi yang akhirnya mencemar maruah wanita.

“Tuala wanita bukan alat untuk kepentingan peribadi atau alat protes dalam parti.

“Ia mewakili pengalaman sebenar berjuta-juta wanita dan tidak boleh disalahgunakan sebagai gimik politik, terutamanya dalam parti kita sendiri.

“Mari kita tegakkan nilai teras parti: rasa hormat, integriti, dan komitmen tulen untuk memajukan hak wanita, dan tidak mengalihkan perhatian umum daripada isu substantif melalui isyarat simbolik yang berlebihan,” kata sayap itu dalam catatan Facebook malam tadi.

[Baca berita asal]



Source link