Malaysia Oversight

MK3D 2025 capai 2.1 juta pengunjung, RM6.9 juta jualan tunai

By TheSun in August 4, 2025 – Reading time 1 minute
MK3D 2025 capai 2.1 juta pengunjung, RM6.9 juta jualan tunai


KUALA LUMPUR: Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) berjaya mencatat tujuh rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) serta melampaui sasaran utama.

Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris, berkata karnival itu menarik 2.1 juta pengunjung, melebihi sasaran 2 juta.

Jualan tunai pula mencecah RM6.9 juta, mengatasi sasaran RM6 juta.

“Kita turut hampir mencapai sasaran padanan perniagaan RM209 juta dengan terkumpul RM200 juta setakat ini.

Kami yakin angka ini akan meningkat menjelang penutupan rasmi,“ katanya.

MK3D dianjurkan bersama FELDA, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Ia memberi impak positif kepada ekonomi usahawan desa dan ekonomi hijau.

Mohd Banuri menyatakan cadangan untuk mengadakan MK3D semula pada Hari Peneroka FELDA ke-70 tahun depan.

“Program ini menjadi platform penting bagi usahawan Bumiputera berkembang,“ tambahnya.

Selain itu, 57 peserta mencatat rekod MBR dengan menarik bas 13 tan sejauh 20 meter.

FELDA juga mencatat rekod orkestra terbesar seramai 735 pemain dan pertandingan carom dengan 1,400 peserta. – Bernama



Source link